Usah pasrah membuta tuli, bukan alasan tidak mencuba

Usah pasrah membuta tuli, bukan alasan tidak mencuba


Setiap orang pasti ada impian, cita-cita dan harapan. Kita berusaha dengan pelbagai cara dan berdoa supaya semuanya menjadi.

Tapi, bila yang diharapkan tak menjadi, kita mula rasa penat, kecewa, malah hilang arah.

Manusia sering kali terperangkap antara dua perkara iaitu keinginan untuk mengawal takdir hidup dan kesedaran bahawa banyak perkara di luar kawalan.

Di sini pentingnya memahami konsep tawakal.

Tawakal bukan sikap pasrah membuta tuli. Ia bukan alasan untuk tidak mencuba.

Tawakal adalah satu seni hidup yang mengajar kita untuk bekerja keras, lalu menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada Allah dengan penuh yakin.

Dalam erti kata lain, tawakal ialah keseimbangan antara usaha dan kebergantungan kepada Allah.

Tanpa usaha, kita hanya mengharap keajaiban. Tanpa tawakal, kita hanyut dalam angan-angan yang terlalu bergantung pada logik dan perancangan manusia.

Rasulullah SAW pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi: “Jika kamu benar-benar bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung: ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.”

Perumpamaan ini sangat indah. Burung itu tidak duduk menunggu rezeki di sarangnya. Ia terbang, mencari, menyelusuri angin dan dahan. Tapi, hatinya tetap yakin bahawa rezekinya sudah dijanjikan Allah.

Begini kita seharusnya hidup. Bergerak, berusaha, bertindak dan yakin bahawa Allah tidak membiarkan usaha kita sia-sia.

Dalam surah Ali ‘Imran ayat 159, Allah berfirman:

“Kemudian apabila engkau telah berazam (membuat keputusan), maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal.”

Ayat ini memberi satu garis panduan yang jelas: buat keputusan dengan ilmu dan akal, bertindak dengan usaha dan strategi, kemudian baru letakkan seluruh kebergantungan kepada Allah.

Tawakal datang selepas usaha. Bila ini difahami, kita tidak akan mudah menyalahkan takdir apabila sesuatu tidak menjadi.

Kita lihat pula kisah Nabi Musa AS ketika dikejar Firaun dan tenteranya. Di hadapan mereka terbentang laut yang luas, di belakang pula musuh yang mahu membunuh.

Kaumnya menjadi gelisah dan hilang arah. Tapi, apa kata Nabi Musa? Beliau berkata dengan penuh tenang dan yakin: “Tidak! Sesungguhnya Tuhanku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Surah al-Syu’ara’: 62)

Lalu laut pun terbelah, memberi laluan untuk mereka melarikan diri.

Ini bukan kisah dongeng, tetapi satu bukti agung bagaimana tawakal yang sejati mampu membuka jalan yang mustahil.

Kita juga tidak boleh lupa kisah Nabi Ibrahim AS. Ketika baginda dicampakkan dalam api oleh Raja Namrud, seluruh hukum fizik menunjukkan tubuhnya akan terbakar.

Tapi, baginda menyebut kalimah agung: “Hasbunallahu wa ni’mal wakeel” – “Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik pengurus urusan.” (Surah Ali ‘Imran: 173)

Api yang panas itu pun berubah menjadi sejuk dan selamat. Ini kekuatan spiritual yang lahir dari hati yang bertawakal.

Tawakal bukan hanya untuk saat genting atau waktu susah. Orang yang bertawakal hidupnya lebih stabil, bukan kerana semuanya sempurna, tetapi kerana dia tahu bagaimana untuk berlapang dada apabila diuji dan bagaimana untuk bersyukur ketika diberi nikmat.

Hidupnya tidak mudah terumbang-ambing oleh emosi kerana hatinya sentiasa bersandar pada Allah.

Mereka tidak akan tenggelam dalam kecewa dan tidak akan lalai dalam kejayaan.

Bila gagal, mereka tidak menyalahkan takdir. Bila berjaya, mereka tidak membanggakan diri. Kerana mereka tahu, segala-galanya datang daripada Allah.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din menulis bahawa tawakal adalah buah daripada keimanan yang matang. Ia datang setelah hati benar-benar yakin bahawa tiada satu pun yang berlaku melainkan dengan izin Allah.

Katanya, orang yang bertawakal tidak pernah putus asa kerana dia tahu bahawa Allah sentiasa merancang yang terbaik walaupun pada pandangan mata manusia ia kelihatan sukar difahami.

Ulama sufi seperti Rabi’ah al-‘Adawiyah juga sering menekankan bahawa tawakal bukan hanya soal menyerah, tetapi soal cinta.

Bila kita cinta kepada Allah, kita percaya bahawa segala yang berlaku itu adalah bentuk kasih sayang-Nya. Kita akan reda dengan takdir, bukan kerana kita tiada pilihan, tetapi kerana kita percaya Allah lebih tahu apa yang terbaik.

Realitinya, hidup ini penuh dengan ketidakpastian. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok.

Tapi, orang yang bertawakal tidak hidup dalam kerisauan. Mereka berusaha, mereka merancang, tetapi mereka tahu keputusan akhirnya bukan di tangan mereka.

Mereka tidur dengan tenang kerana mereka tahu Allah sedang menguruskan segalanya.

Tawakal juga membuatkan doa kita lebih jujur. Bila kita berdoa dengan hati yang bertawakal, kita tidak meminta sesuatu dengan paksaan, tetapi dengan pengharapan.

Kita tidak mendesak hasil yang spesifik, tetapi kita minta yang terbaik menurut ilmu Allah. Kita lebih reda dan tenang menerima keputusan-Nya.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 216, Allah berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik untukmu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk untukmu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Ayat ini mengajar kita supaya jangan cepat menilai sesuatu hanya berdasarkan logik dan pandangan mata kasar.

Kadang-kadang apa yang kita rasa rugi sebenarnya satu perlindungan. Kadang-kadang apa yang kita mahu sangat sebenarnya ujian.

Bila kita tawakal, kita akan lebih kuat menghadapi semua ini.

Jadikan tawakal sebagai satu cara hidup, bukan sekadar lafaz di bibir. Berusaha sekuat mungkin, berdoa setulus hati dan selepas itu, tenangkan diri dengan kepercayaan bahawa Allah tahu apa yang kita perlukan lebih daripada apa yang kita mahukan.

Kerana pada akhirnya, hidup ini bukan mengenai apa yang kita dapat, tetapi mengenai bagaimana kita percaya bahawa setiap yang berlaku adalah dengan izin dan kasih sayang Allah.

Penulis pensyarah UCSI University

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top