Zii Jia memutuskan untuk tidak menerima tawaran menyertai RTG kerana merasakan dirinya tidak layak. Foto Agensi
KEPUTUSAN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menolak tawaran menyertai program berprestij Road To Gold (RTG) buat kali kedua nyata mengundang pelbagai reaksi termasuk dari kalangan bekas pemain negara sendiri.
Terbaharu, bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berpandangan bahawa selepas dua kali menolak tawaran, pihak jawatankuasa RTG tidak lagi perlu memujuk atau memberi peluang baharu kepada Zii Jia untuk menyertai program itu.
“Tidak perlu rayu selepas ini, sebab dia sudah dua kali tolak,” tegas Roslin.
Zii Jia, 27, merupakan antara 16 atlet elit yang disenarai pendek bagi program RTG untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Amerika Syarikat, namun membuat keputusan menolaknya atas faktor tertentu.
Tahun lalu, Zii Jia menolak menyertai RTG sebagai persiapan ke Olimpik Paris.
Mengulas lanjut, Roslin percaya keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti antara pemain berkenaan dan pihak RTG.
“Perkara ini terserah kepada pemain itu, sama ada mahu menerima atau menolak tawaran RTG.
“Apa pun, kita kena hormati keputusannya,” ujar Roslin.
Sementara itu, pasukan pengurusan Zii Jia (Team LZJ) dalam satu kenyataan rasmi turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa RTG, khususnya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada pemain tersebut.
Tambah kenyataan itu, Zii Jia masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan dan merasakan bantuan RTG lebih wajar disalurkan kepada atlet-atlet lain yang dilihat lebih layak.