BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak boleh berasa terlalu selesa dengan gelaran juara dunia 2025 yang diperoleh kerana cabaran besar menanti mereka pada masa depan.
Bekas pemain negara, Goh Liu Ying melihat cabaran paling sukar yang mereka bakal harungi pada kejohanan akan datang ialah mengekalkan dan meningkatkan lagi tahap permainan.
“Saya percaya selepas ini lebih banyak negara (pasangan) akan mula mengkaji corak permainan mereka.
“Jadi pada masa sama, ketika lawan cuba mencari kelemahan, mereka sendiri juga perlu terus memperbaiki kelemahan dan menambah kekuatan,” katanya.
Kejayaan manis tersebut dilakar selepas Tang Jie-Ee Wei menumpaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam aksi final Kejohanan Dunia di Paris pada Ahad.
Justeru Liu Ying berharap dengan bantuan barisan kejurulatihan, perancangan strategi dan pemilihan kejohanan yang tepat akan jadi sangat penting menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Gelaran juara dunia hanyalah satu permulaan dan saya percaya mereka boleh menjadikannya sebagai batu loncatan menuju LA28,” ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 yang berpasangan dengan Chan Peng Soon itu.
Lui Ying turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pasangan nombor empat dunia itu yang disifatkan satu kejayaan yang dinanti-nantikan kerana dalam acara beregu campuran bukan mudah untuk melangkah sejauh ini.
“Mereka pernah berpisah dan kini kembali bersama dengan lebih matang, lebih serasi, dan komunikasi di gelanggang juga semakin baik.
“Saya juga rasa hubungan serta keyakinan mereka terhadap jurulatih amat penting dan wajar diberi pujian kerana jurulatih memainkan peranan besar dalam kejayaan ini,” katanya.