Dalam sekelip mata, segala usaha lebih 30 tahun musnah apabila rumah sebuah keluarga di Blok A, Felda Sungai Rentang, Jerantut hangus dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu.
Apa yang dibina dengan titik peluh seumur hidup lenyap tanpa sempat diselamatkan, meninggalkan keluarga itu sehelai sepinggang serta dibelenggu beban hutang yang semakin menghimpit.
Wakil keluarga, Muhd Isyraf Mohd Fauzi, 26, berkata kejadian itu berlaku ketika dia bersama bapanya, Mohd Fauzi Ismail, 58, ibu berusia 56 tahun serta adik bongsu berada di Seremban untuk menghadiri kenduri saudara.
“Kami dapat berita rumah terbakar masa di Seremban dan terus batalkan rancangan untuk kenduri lalu pulang ke Jerantut,” katanya kepada Rotikaya.
Menurut Muhd Isyraf, kepulangan mereka hanya disambut sisa kebakaran apabila rumah dan enam kenderaan milik keluarga musnah termasuk tiga buah lori yang menjadi punca utama rezeki keluarga.

“Daripada tiga lori itu, dua total lost dan satu lagi boleh dibaiki tetapi kosnya sangat besar,” katanya.
Lori-lori tersebut digunakan bapanya untuk kerja mengangkut sawit sejak 30 tahun lalu, bermula sebagai pekerja sebelum berjaya memiliki kenderaan sendiri hasil usaha berterusan.
Kini, senjata utama mencari rezeki keluarga itu hilang sekelip mata, malah Muhd Isyraf sendiri turut bekerja bersama bapanya dalam perniagaan tersebut.
Lebih memeritkan, wang gaji pekerja serta rekod kewangan turut hangus dalam kebakaran sehingga keluarga itu kini berdepan tuntutan bayaran tanpa dokumen rujukan.
“Ayah sekarang terbeban sebab gaji pekerja perlu dibayar tetapi semua rekod dan wang tunai sudah terbakar,” katanya.
Selain itu, Mohd Fauzi yang juga Ketua Blok berdepan ujian berat apabila urusan jual beli sawit peserta blok yang diuruskannya turut terjejas kerana wang tunai yang sepatutnya diagihkan hangus terbakar bersama resit-resit urus niaga.

“Sekarang kami tinggal di bahagian belakang rumah yang terbakar, tempat ayah bina surau keluarga dan pasang khemah untuk berlindung, ini satu-satunya rumah kami.
“Selama ini ayah aktif membantu penduduk yang memerlukan atas kapasiti Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini, namun kali ini kami pula yang perlu dibantu,” luahnya.
Buat masa ini, keluarga itu amat memerlukan bantuan kewangan serta kelengkapan persekolahan untuk dua adik Muhd Isyraf masing-masing di tingkatan lima dan darjah lima.
“Tentang bekalan makanan, Alhamdulillah, insyaAllah boleh bertahan sebulan lagi. Ada saudara-mara dan penduduk setempat yang datang hantar,” katanya.
Untuk sumbangan boleh salurkan melalui akaun Pertubuhan Amal Dan Kebajikan ROTIKAYA CIMB Bank 8604675654.






