July 16, 2024

Usaha cari Prebet Muhammad Syafiq masih giat dijalankan

Usaha cari Prebet Muhammad Syafiq masih giat dijalankan


LIMBANG – Usaha mencari Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang semasa melaksanakan Op Ukur di Limbang bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak pada 18 Jun lepas masih giat dijalankan.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Rejimen Sempadan yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu memasuki hari ke-10 dengan kaedah pencarian udara dan darat dilakukan sekitar kawasan Ulu Mendalam.

“Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM serta dipergiatkan lagi dengan bantuan unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan itu.

Pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian sektor mereka.

Kenyataan itu menambah pihak TDM kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

Masyarakat juga diharapkan memberikan kerjasama dengan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top