PANGGILAN manis seperti ‘wahai puteriku’ atau ‘wahai isteriku’ mungkin kedengaran janggal, namun di situlah tersimpannya rahsia kebahagiaan rumah tangga.
Rasulullah SAW sendiri menzahirkan bahasa penuh kasih sayang ketika berinteraksi dengan ahli keluarganya.
Pendakwah, Ustazah Nazirah Abu Bakar menjelaskan, hal itu membuktikan bahawa pembinaan keluarga rahmah bermula dengan tutur kata yang baik.
USTAZAH NAZIRAH
“Nabi Muhammad SAW sendiri gunakan panggilan penuh kasih kepada isteri dan anak, mengapa kita hari ini lebih selesa dengan panggilan kasar atau sekadar nama?
“Sedangkan kata-kata baik itu mencipta suasana kasih sayang dalam rumah. Anak-anak rasa dihargai, pasangan pula rasa disayangi. Itu yang menjadikan rumah sebagai tempat paling tenang, bukan medan tekanan.
“Kalau dalam rumah kita boleh biasakan panggilan yang baik, insya-ALLAH (budaya itu) akan terbawa ke luar. Masyarakat juga jadi lembut dan penuh rahmah kerana asasnya sudah dididik dalam keluarga,” ujarnya ketika menjadi panel dalam program Jaulah Mahabbah@Forum Maulidur Rasul & Hari Malaysia bertajuk Rasulullah sebagai teladan perpaduan bangsa & pembinaan negara di Masjid Abd Rahman Bin Auf (MARBA), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Niat kerana ALLAH
Menurut Ustazah Nazirah, asas kebahagiaan rumah tangga bermula dengan niat. Baik suami mahupun isteri, setiap tanggungjawab seperti mencari rezeki, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak perlu dilakukan dengan niat kerana ALLAH.

CONTOHI sikap Rasulullah SAW yang sentiasa menzahirkan bahasa penuh kasih sayang ketika berinteraksi dengan ahli keluarga Baginda.
Apabila nawaitunya benar, segala kekurangan berubah menjadi pahala.
Ini kerana ramai yang kecewa dalam rumah tangga kerana mengharapkan balasan daripada pasangan, bukan daripada ALLAH SWT.
“Kenapa kita selalu marah pasangan atau anak-anak? Sebab kita menuntut balasan daripada mereka. Bila tak dapat, kita jadi kecewa. Kalau semuanya kerana ALLAH, insya-ALLAH kita akan lebih tenang.
“Inilah pentingnya niat. Niat itu penting dalam hati, tetapi ia menentukan bahagia atau tidaknya rumah tangga. Bila niat kerana ALLAH, kekurangan pasangan pun boleh kita terima. Rumah tangga yang bermula dengan niat kerana-NYA akan dipenuhi rahmah,” terangnya panjang lebar.
Pada masa sama, tegas Ustazah Nazirah, keluarga juga mesti dibina atas kasih sayang yang dizahirkan.

CONTOHI sikap Rasulullah SAW yang sentiasa menzahirkan bahasa penuh kasih sayang ketika berinteraksi dengan ahli keluarga Baginda.
Lihat sahaja cara Rasulullah SAW yang tidak malu menyebut kepada sahabatnya ‘Aku mencintaimu wahai Mu‘az’.
Begitu jugalah dalam rumah tangga, kata-kata sayang tidak boleh disekat.
Lebih penting, ujar beliau, kemaafan perlu menjadi budaya kerana ramai terluka akibat menyimpan kemarahan, sedangkan al-Quran mengajarkan agar mengambil kemaafan.
“Ambil kemaafan itu bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri.
“Bila kita ambil kemaafan, hati kita jadi tenang dan kita tidak terbeban dengan dendam,” ungkapnya.
Didikan generasi muda
Bicara Ustazah Nazirah turut menekankan peranan generasi muda.
Jelas beliau, Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang ketika beliau berusia 18 tahun, sekali gus membuktikan anak muda wajar diberi ruang untuk memimpin.

KEKUATAN negara bermula daripada keluarga. Jika keluarga rosak, masyarakat akan goyah dan akhirnya negara menjadi lemah. -Foto: 123RF
Tegasnya, ruang itu tidak bermakna kebebasan tanpa kawalan kerana tetap perlu dipandu dengan syariat.
“Anak muda perlu diberi peluang, tetapi jangan lupa disiplin agama.
“Gabungan semangat mereka dengan hikmah orang lama akan melahirkan masyarakat yang kuat,” jelasnya.
Dalam konteks masjid, beliau menegur sikap segelintir masyarakat yang cepat marah apabila anak kecil berlari di dalam masjid.
“Kalau anak-anak kecil berlari di masjid, biarkanlah. Nabi Muhammad SAW sendiri meraikan mereka, bahkan menjadikan masjid mesra keluarga,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri kalamnya, beliau mengingatkan, kekuatan negara bermula daripada keluarga. Jika keluarga rosak, masyarakat akan goyah dan akhirnya negara menjadi lemah.
“Hendak baiki negara, mesti baiki masyarakat. Hendak baiki masyarakat, bermula dengan keluarga. Hendak baiki keluarga, mula dengan hati dan solat,” tuturnya.

PEMBINAAN keluarga rahmah bermula dengan tutur kata yang baik. -Foto: CANVA
ANEKDOT
Rahmah Rasulullah SAW dalam didikan keluarga
– Rasulullah SAW mendidik keluarga dengan sifat qanaah (berpada-pada). Jika tiada makanan di rumah, Baginda memilih untuk berpuasa tanpa menyalahkan sesiapa.
– Wanita menjadi tunjang keluarga dan masyarakat. Jika baik kaum Hawa itu, insya-ALLAH baiklah keluarga dan komuniti sekitarnya.
– Kehadiran wanita dalam majlis ilmu adalah penting kerana penglibatan mereka akan memakmurkan suasana agama dalam masyarakat.
– Majlis ilmu membawa pulang rahmat. Ini kerana forum, kuliah masjid atau perhimpunan silaturahim akan menambahkan keberkatan dalam keluarga.

ASAS kebahagiaan rumah tangga bermula dengan niat kerana ALLAH SWT dala, setiap tanggungjawab yang dilakukan seperti mencari rezeki, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
– Rasulullah SAW tidak hanya mengajar dengan kata-kata, tetapi melalui akhlak teladan, termasuk cara Baginda meraikan ahli keluarga. Kasih sayang Nabi Nuhammad SAW merangkumi semua aspek kehidupan iaitu daripada akhlak kepada sahabat, isteri, anak hingga cucu Baginda.
– Keluarga yang membiasakan diri dengan suasana ilmu akan lebih mudah mengamalkan nilai kasih sayang, kemaafan dan reda dalam kehidupan seharian.
– Rahmah keluarga yang menjadi akar kekuatan umat. Daripada keluarga, terbina masyarakat penyayang dan akhirnya negara yang kuat.