September 8, 2024

Usahawan PMKS belum bersedia pelaksanaan e-Invois

Usahawan PMKS belum bersedia pelaksanaan e-Invois


Kuala Lumpur: Mulai 1 Ogos ini, kerajaan akan melaksanakan penggunaan e-Invois secara berperingkat berdasarkan nilai ambang hasil jualan perniagaan.

Fasa pertama pelaksanaannya akan membabitkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Pelaksanaan fasa kedua pula pada Januari 2025, akan membabitkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta hingga RM100 juta.

Semua perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diwajibkan mengeluarkan e-Invois, mulai 1 Januari 2025.

Namun, kumpulan peniaga kecil yang bernaung di bawah syarikat besar seperti e-dagang dan penghantaran makanan yang mungkin masih belum bersedia juga perlu melaksanakan e-Invois menjelang 1 Ogos.

Pelaksanaan e-Invois adalah mekanisme pelaporan hasil jualan dan perkhidmatan kepada pentadbir cukai, bertujuan meningkatkan tahap pematuhan cukai, seterusnya membantu kerajaan menangani isu ekonomi bayangan.

Dengan mengadaptasi e-Invois, ia memberi manfaat signifikan kepada PMKS dalam konteks perekodan transaksi penjualan perniagaan dan penyimpanan dokumen lebih teratur.

Seterusnya, ia juga meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan PMKS.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MoF) maklum mengenai cabaran bakal dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois, terutama peningkatan kos operasi, penerapan teknologi dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois.

Justeru, Portal MyInvois serta Sistem Point of Sales (POS) yang boleh diakses secara percuma oleh PMKS disediakan bagi membantu dan memudahkan penghantaran e-invois kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tanpa peningkatan kos signifikan kepada perniagaan.

Malah, LHDN juga sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa penyedia rangkaian pembayaran bagi membolehkan entiti itu mengeluarkan e-Invois bagi pihak PMKS.

Langkah itu antara penyelesaian digital bagi membantu PMKS dalam mematuhi keperluan pengeluaran e-Invois.

Namun, pertimbangan diberikan kepada PMKS untuk tidak perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan pada peringkat permulaan.

PMKS dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois disatukan, iaitu menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada LHDN dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya.

Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan ketika ini, rata-rata PMKS masih belum bersedia dengan pelaksanaan sistem itu, selain ada yang masih belum mendapat gambaran jelas berkenaan e-Invois.

Malah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) memaklumkan, PMKS perlu membelanjakan kira-kira RM200,000 untuk menyediakan sistem berkenaan, selain RM50,000 setahun untuk menyokong sistem berkenaan.

Peniaga barangan runcit yang sudah lima tahun menjalankan perniagaan, berkata dia tahu mengenai e-Invois yang akan dilaksanakan oleh LHDN.

Namun katanya, dia tidak mampu melabur jumlah yang banyak semata-mata untuk melaksanakan sistem berkenaan.

“Walaupun celik teknologi, perniagaan dilaksanakan ketika ini tidak bersifat digital sepenuhnya kerana pekerjanya tiada pengetahuan mengenai hal itu.

“Saya tiada masalah dengan pelaksanaan sistem e-Invois, tetapi LHDN perlu sediakan semuanya kepada PMKS seperti kami.

“Kami peniaga PMKS berharap, kos perniagaan menurun terutama yuran di platform e-dagang, sekali gus boleh membantu kami meningkatkan margin,” katanya.

Peniaga barangan rumah pula mengakui, tahu mengenai e-Invois yang dapat membantu Malaysia membina sistem cukai lebih baik, namun tidak bersedia dengan pelaksanaannya.

Katanya, ini kerana perniagaan yang diusahakan sejak enam tahun lalu masih baharu, selain pendapatan syarikat masih rendah.

“Saya faham e-Invois dianggap sebagai langkah penting untuk memajukan ekonomi negara, tetapi saya berharap ia mampu membantu mengembangkan ekonomi ke tahap lebih baik,” katanya.

Bagi peniaga barangan elektronik yang sudah lapan tahun dalam perniagaan itu, berkata dia tidak bersedia dan tidak selesa jika perlu memberikan maklumat lengkap kepada LHDN untuk melaksanakan sistem e-Invois.

Katanya, ini kerana ia akan membabitkan banyak kertas kerja dan tenaga kerja hanya untuk urusan sistem itu sahaja.

“Saya berpendapat, dalam keadaan ekonomi sekarang ini, sistem ini tidak perlu dilaksanakan lagi dan jika perlu, laksanakan secara berperingkat.

“Jika perlu dilaksanakan juga, kerajaan perlu memberi bantuan sewajarnya seperti subsidi atau latihan supaya peniaga dapat menguruskan aliran wang dengan lebih baik dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Bagi penjual sate, dia berkata tidak bersedia dengan pelaksanaan e-Invois walaupun tahu ia akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini.

Tiada untung besar

Katanya, perniagaan yang diusahakan adalah secara kecil-kecilan dan tidak memberi keuntungan terlalu besar.

“Kami peniaga tidak memerlukan sebarang sistem baharu, apa yang diperlukan sekarang ini mendapat bantuan sewajarnya untuk kami membantu ekonomi negara,” katanya.

Seorang lagi peniaga PMKS berkata, walaupun dia dan pekerjanya celik teknologi, perniagaannya belum digital sepenuhnya lagi dan dia juga belum bersedia dengan pelaksanaan sistem itu.

“Memandangkan ketika ini perniagaan menghadapi masalah kewangan, saya belum bersedia dengan pelaksanaan e-Invois ini.

“Bagaimanapun, saya berharap jika kerajaan masih perlu laksanakan sistem ini, lakukan dengan langkah lebih mudah,” katanya.

Begitu juga pengusaha kedai makanan, katanya dia bersedia dengan pelaksanaan e-Invois dan tidak kisah jika perlu mengeluarkan modal untuk menjayakan sistem itu.

“Jika sistem itu bertujuan membantu perniagaan PMKS menjadi lebih sistematik, apa salahnya jika mengeluarkan sedikit modal jika ia berbaloi.

“Saya berharap langkah melaksanakan e-Invois ini satu langkah bijak oleh kerajaan dalam usaha memudahkan urusan peniaga seperti kami,” katanya.

Sementara, Penolong Pengurus Penyelidikan IDEAS, Sharmila Suntherasegarun, berkata di Malaysia strategi pelaksanaan e-Invois merangkumi skop luas transaksi Business-to-Business (B2B), Business-to-Consumer (B2C) dan Business-to-Government (B2G).

Bagaimanapun, katanya terdapat kekurangan penyeragaman sistem itu, iaitu PKS fizikal perlu melaksanakan e-Invois menjelang Julai 2025 manakala dalam talian perlu mematuhi sebelum 1 Ogos ini.

Katanya, ketidakseragaman itu akan menambahkan lagi cabaran bagi PMKS mengguna pakai e-Invois.

Malah, terdapat beberapa kekeliruan contohnya, pada mulanya difahamkan e-Invois memerlukan semua peniaga mengisi 55 medan data.

“Tetapi LHDN sudah menjelaskan bahawa PMKS hanya perlu mengisi enam daripada medan data itu, dengan maklumat selebihnya dipra isi secara automatik, sekali gus mengurangkan beban pematuhan ketara.

“Selain itu turut tidak jelas adalah bagaimana pelaksanaan akan dilaksanakan untuk PMKS yang mempunyai kedai fizikal, kedai dalam talian atau kedai hibrid.

“Walaupun garis masa dan garis panduan yang lebih luas dimaklumkan, langkah yang jelas mengenai cara PMKS boleh mendaftar dan mengguna pakai sistem e-Invois masih tidak jelas,” katanya.

Justeru Sharmila berkata, proses pelaksanaan tidak boleh dilihat secara berasingan memandangkan baru-baru ini, terdapat kebimbangan disuarakan persatuan PMKS dan maklum balas anekdot daripada peniaga. 

Ini menunjukkan terdapat keperluan untuk meningkatkan kerjasama antara pentadbiran cukai dan sektor PKMS atau saluran yang lebih berkesan untuk menyalurkan kebimbangan ini.

Katanya, ketika ini juga perlu diwujudkan pelan komunikasi terperinci dan strategik bagi memenuhi keperluan maklumat penting kepada PMKS, sekali gus dapat mengurangkan kekeliruan yang timbul.

Berkenaan kos pula katanya, terdapat kos pelarasan yang ketara bagi PMKS untuk mengguna pakai e-Invois memandangkan kekurangan kesediaan teknologi dan infrastruktur digital untuk perniagaan kecil.

Katanya, walaupun kos sekali sahaja, ia masih boleh memberi kesan ketara kepada perniagaan kecil.

“Sebagai contoh, mereka boleh menghadapi cabaran sumber manusia dan keperluan untuk meningkatkan kemahiran IT dalam kalangan kakitangan.

“Memandangkan 78 peratus pertubuhan di Malaysia adalah perusahaan mikro (dengan 60 peratus hingga 70 peratus adalah perniagaan milik keluarga) untuk melaksanakan perubahan pasti mengambil masa dan usaha.

“Di Peru, mekanisme e-Invois sudah diberi mandat untuk perniagaan kecil pada 2022, iaitu enam tahun selepas pelaksanaan awal pada 2017,” katanya.

Berkenaan implikasi jika proses pelaksanaan gagal dijalankan dengan berkesan, Sharmila berkata, andainya PMKS tidak dapat menerima sistem itu, ia boleh mengehadkan kepelbagaian pasaran dan meningkatkan jurang antara perniagaan yang akhirnya mewujudkan medan permainan yang tidak seimbang.

Katanya, pelaksanaan e-Invois adalah penting dan perlu untuk negara memandangkan manfaat yang meluas, namun ia juga harus diimbangi dengan mengekalkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top