July 15, 2024

Usahawan Shell LiveWIRE menyokong kesihatan mental melalui SAPOT

Usahawan Shell LiveWIRE menyokong kesihatan mental melalui SAPOT



suliati@hmetro.com.my

SERING menjadi tempat rakan meluahkan perasaan menjadi titik tolak kepada tiga usahawan muda menubuhkan platform sokongan kesihatan mental, iaitu SAPOT.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama SAPOT Tech PLT Najiya Ilya Md Arif, 25, berkata ketika berusia 14 tahun, seorang rakan baiknya memberitahu bahawa dia melakukan perbuatan mencederakan diri sendiri (self-harming).

Menurutnya, keadaan ini membuatkan dirinya amat sedih dan menyedarkannya bahawa ramai mengalami masalah mental tetapi enggan mencari bantuan profesional.

“Masalah kesihatan mental adalah isu yang sangat serius. Walaupun kesedaran mengenainya semakin meningkat, namun masih banyak stigma yang menghalang seseorang itu untuk mendapatkan bantuan.

“Hal ini mendorong kami memulakan SAPOT pada 23 Mac 2022 di Bangsar South, Kuala Lumpur dengan tujuan mewujudkan rasa keselesaan berbicara dengan rakan yang dipercayai dan mempunyai empati kerana pernah melalui cabaran yang sama,” katanya.

Bersama rakan niaga yang juga tulang belakang SAPOT iaitu Nureen Hadhira Qistina Hamka dan Nur Fatiha Shuib, fokus mereka adalah kepada isu stigma berkaitan kesihatan mental yang menghalang orang ramai daripada mendapatkan sokongan dan rawatan.

“Ini dilakukan melalui intervensi yang disantuni oleh individu yang sudah pulih daripada masalah kesihatan mental mereka tersendiri.

“Selain itu, bagi memastikan kami benar-benar dapat membantu masyarakat di luar sana, kami semua mendapat latihan dari Implementing Recovery through Organisational Change (ImROC), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh National Health Service (NHS), United Kingdom sebelum menyantuni pengguna servis SAPOT,” katanya.

Mengulas lanjut, Najiya berkata SAPOT menyediakan platform di mana pengguna boleh berhubung dengan pemandiri kesihatan mental (mental health survivors) yang pulih dari cabaran kesihatan mental lantas menjadi perintis ‘accredited peer supporters’ Malaysia dan mampu memberi sokongan pada yang memerlukan.

Katanya ini memudahkan orang ramai mendapatkan sokongan yang diperlukan sekali gus mengurangkan stigma berkaitan kesihatan mental.

“Kami juga dapat mengatasi masalah kekurangan profesional kesihatan mental dengan kehadiran SAPOT ‘Warriors’, iaitu wira yang pulih dan kini membantu pengguna servis SAPOT.

“Isu biaya kewangan bagi rawatan yang selalunya tinggi juga dapat diatasi kerana SAPOT menawarkan sesi sokongan pada harga yang berpatutan” katanya.

Komited untuk terus membantu masyarakat dalam isu kesihatan mental tidak hanya membantu perniagaannya berkembang tetapi turut diangkat sebagai pemenang Program Shell LiveWIRE Disember 2022.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam Shell LiveWIRE Malaysia, Najiya berkata mereka menyertai program itu kerana ia selari dengan visi syarikatnya untuk memberi impak dalam komuniti dan mengukuhkan ekonomi tempatan melalui promosi keusahawanan dan pembangunan usahawan.

Katanya peluang yang diberi Shell LiveWIRE itu ternyata mendatangkan banyak manfaat kepada SAPOT dengan sokongan dan jaringan yang terbina.

“Menerusi program ini, kami dapat meningkatkan lagi ilmu mengenai pelbagai aspek penting dalam menjalankan perniagaan, termasuk strategi pemasaran berkesan, pengurusan kewangan dan cara untuk meningkatkan keberkesanan operasi kami.

“Program ini juga memberikan kami akses kepada jaringan mentor berpengalaman, yang membantu kami memperbaiki model perniagaan dan memberikan panduan dalam membuat keputusan yang kritikal,”katanya.

Bukan itu saja, Kata Najiya sokongan yang diterima daripada mentor dan pakar dalam program ini juga membolehkan syarikatnya memperbaiki strategi perniagaan dan operasi kami.

“Kami juga mendapat peluang untuk memperluaskan rangkaian kami melalui hubungan dengan usahawan yang lain yang diperkenalkan oleh program ini,”katanya.

Sejak memenangi Shell LiveWIRE, SAPOT tidak hanya berkembang dengan pesat tetapi berjaya memperkenalkan perkhidmatan baru dan meningkatkan jumlah pengguna platform ini.

Kata Najiya, mereka juga berjaya menambah bilangan SAPOT Warriors yang terlatih, memperluaskan jangkauan kami ke lebih banyak komuniti.

“Selain itu, kerjasama dengan organisasi lain membuka peluang baru untuk menawarkan sokongan yang lebih meluas dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.

“Besar harapan kami bahawa lebih banyak organisasi membuka pintu mereka untuk menggunakan perkhidmatan SAPOT bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau demi kelestarian kesihatan mental kakitangan mereka melalui program yang kami sediakan.

“Kami juga berharap negara menuju kepada pencapaian kesihatan yang holistik,” katanya.

Berada pada tahap sekarang bukan sesuatu yang mudah buat SAPOT Tech PLT tetapi mereka percaya bahawa sukses tidak tertakluk kepada pencapaian atau kejayaan yang diharap tetapi pada usaha disertakan dengan niat yang luhur.

Oleh itu, bagi usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan sendiri, nasihat Najiya jangan takut melakukan kesilapan kerana setiap kesilapan itu adalah peluang untuk belajar dan berkembang.

“Jangan terlalu fokus untuk menjadi sempurna dalam segala hal, tetapi benarkan diri untuk berkembang melalui pengalaman.

“Selain itu, sentiasalah mencari peluang untuk belajar dan jangan takut meminta bantuan atau nasihat daripada mentor serta orang yang lebih berpengalaman. Terus berusaha, percaya pada diri sendiri dan visi anda,”katanya.

Penyertaan untuk mengikuti program Shell LiveWIRE 2024 bagi Semenanjung Malaysia kini dibuka sekarang dan tarikh akhir untuk permohonan adalah pada 10 Julai ini.

Daftar sekarang di laman sesawang Unlock Your Business Potential with Shell LiveWIRE | Shell Malaysia LiveWire Shell Malaysia LiveWire dan hidupkan impian anda!

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top