Pelakon Sharifah Rose tidak menafikan dia kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup apatah lagi apabila usia semakin menghampiri angka 30 tahun.
Menurut Sharifah Rose atau mesra disapa Rose, pengalaman melalui beberapa fasa hubungan sebelum ini banyak mengajarnya untuk tidak lagi terburu-buru dalam membuat keputusan, sebaliknya menilai dengan lebih matang dan rasional.
“Saya pun dah nak berusia 30 tahun. Bila dah melalui pengalaman sebelum ini, saya rasa lebih baik ‘scan’ dulu lelaki yang nak dikenal. Zaman sekarang pun kita boleh lihat banyak kes perceraian berlaku,” katanya.
Rose ditemui pada majlis pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! yang berlangsung di TGV Cinema, Suria KLCC, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aktres drama Doa Yang Terlindung itu berkata pendedahan terhadap pelbagai kisah rumah tangga yang berakhir dengan perpisahan membuatkannya lebih berwaspada dan tidak mahu tersilap langkah dalam memilih pasangan.
“Hari-hari saya dengar kes itu ini. Saya tak mahu jadi salah satu daripada kes seperti itu. Sebab itu kita kena lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup,” ujarnya.
Rose berkata, pemilihan pasangan bukan sekadar soal keserasian semata-mata, sebaliknya melibatkan tanggungjawab besar kerana individu tersebut kelak bakal menjadi ketua keluarga dan bapa kepada anak-anak.
“Pasangan kita nanti bukan hanya suami, tapi juga bakal menjadi seorang ayah. Jadi, perkara itu memang buat saya berfikir lebih panjang,” katanya.
Artikel Berkaitan: Sharifah Rose Perjelas Status Terkini Dengan Ezzrin Loy – “Kami Tak Rapat Macam Dulu”





