Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, berkongsi panduan mengenai sembilan adab sewaktu beraya yang wajar diamalkan oleh anak-anak serta ibu bapa sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jangan buka sampul depan pemberi

Menerusi perkongsian di Threads, menurutnya pemberian duit raya bukan sekadar tradisi, sebaliknya menjadi medan mendidik akhlak, kesyukuran dan nilai hormat dalam kalangan anak-anak sejak kecil.
“Antara adab utama yang ditekankan ialah ibu bapa perlu mendidik anak supaya tidak meminta-minta atau ‘mengemis’ duit raya.
“Jika menerima pemberian, anak-anak digalakkan mengucapkan terima kasih serta mendoakan pemberi, sebagai tanda penghargaan dan adab yang baik,” ciapannya, semalam.
Selain itu, anak-anak juga disaran berjabat tangan, mencium tangan (jika sesuai) serta menerima sampul dengan tangan kanan sebagai tanda hormat. Mereka turut diingatkan agar tidak membuka sampul duit raya di hadapan pemberi.

Dalam pada itu, Ustaz Wadi turut menegaskan bahawa anak-anak perlu menjaga adab walaupun tidak menerima duit raya, termasuk tidak merajuk atau menunjukkan reaksi negatif.
“Terima seadanya, jangan mempertikai jumlah, jangan bandingkan dengan orang lain dan jika tidak diberi, diam dan jaga adab,” jelasnya.
Dia juga menasihati agar duit raya disimpan dan diurus dengan baik, bukannya dihabiskan sekaligus. Pada masa sama, ibu bapa diingatkan supaya tidak mengambil duit anak tanpa izin kerana ia merupakan amanah milik anak.
Menguatkan nasihat tersebut, Wadi turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW: Siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi).
Artikel lain: Biarlah trend joget raya tenggelam, bimbing anak jaga adab dan maruah – Ustaz Wadi Annuar
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai kerana dilihat relevan dalam mendidik adab anak-anak, khususnya ketika suasana kunjung-mengunjung dan pemberian duit raya yang menjadi amalan tradisi setiap kali Aidilfitri.
Sumber: Threads ustazwadiannuar






