Kuala Lumpur: Hubungan baik yang dipelihara selepas perceraian hendaklah berpandukan garis panduan Islam dengan mengutamakan adab, menjaga maruah serta kebajikan anak.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, hubungan baik selepas perceraian dibenarkan selagi tujuannya jelas antaranya dalam soal menguruskan hak penjagaan anak, nafkah, pendidikan atau menyelesaikan urusan keluarga yang masih berbaki.
“Hubungan ini termasuk dalam konsep amar makruf nahi mungkar, iaitu memelihara kebaikan dan menghindarkan mudarat kepada anak serta keluarga.
“Hubungan berkenaan perlu mempunyai batas. Jika melebihi keperluan rasmi seperti kerap berjumpa secara mesra, bergurau intim atau berduaan tanpa sebab, maka syarak melarangnya.
“Bekas suami dan isteri bukan lagi mahram justeru interaksi mesra yang tidak dijaga boleh menimbulkan godaan dan fitnah,” tegasnya.
Beliau turut menyebut hadis Nabi SAW yang melarang lelaki dan wanita berdua-duaan tanpa mahram.
Mohd Sukki menegaskan, batasan itu penting bagi mengelakkan dosa, menjaga maruah serta menghindarkan anak daripada kekeliruan atau pengaruh negatif.
Katanya, jika kedua-duanya masih mempunyai anak, komunikasi hendaklah fokus kepada urusan anak.
“Pertemuan boleh dilakukan di tempat terbuka atau bersama ahli keluarga lain. Interaksi mesra, bersentuhan atau berdua-duaan wajib dielakkan.
“Bagi pasangan tanpa anak pula, hubungan seharusnya lebih terhad, hanya untuk urusan rasmi tertentu.
“Apa-apa bentuk hubungan yang melampaui batas profesional boleh menimbulkan fitnah dan bertentangan dengan prinsip syariah,” katanya.
Menurut beliau, peraturan Islam itu bertujuan menjaga maruah diri dan bekas pasangan, menghindarkan dosa, melindungi anak daripada kekeliruan serta memastikan hubungan kekal beretika.
“Perceraian adalah realiti yang berlaku dalam kehidupan rumah tangga dan ia memutuskan ikatan suami isteri. Bagaimanapun, ia tidak bermakna semua bentuk hubungan perlu dihentikan terutama jika masih ada tanggungjawab bersama seperti penjagaan anak.
“Kesimpulannya, Islam mengharuskan hubungan yang sopan dan profesional antara bekas suami dan isteri, khususnya bagi urusan anak atau hal rasmi. Maruah dan kehormatan dapat dipelihara dengan menjaga batas itu selain memenuhi tuntutan syariah untuk kehidupan lebih baik selepas perceraian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






