Penyanyi Shiha Zikir menegaskan dia sentiasa memberikan persembahan terbaik setiap kali berada di pentas, sama ada di televisyen mahupun acara korporat.
Bagi Shiha, setiap undangan persembahan bukan sekadar rutin, tetapi satu amanah untuk memastikan semua pihak terutama klien berpuas hati.
Katanya, sejak awal pembabitan dalam industri, persembahan korporat menjadi antara sumber rezeki utama yang amat dihargai.
“Setiap kali mendapat tawaran untuk persembahan, saya akan pastikan semua yang hadir terhibur, bukan sekadar menyanyi. Saya suka berinteraksi dengan penonton, ajak mereka bermain permainan, berbual dan cipta suasana mesra. Saya mahu mereka rasa dekat dan seronok,” katanya.
Selain terkenal dengan lagu balada dan tradisional, Shiha turut mempunyai kelebihan menyanyi dalam pelbagai bahasa, menjadikan persembahannya lebih menarik dan berwarna.
“Ramai yang terkejut bila tahu saya boleh nyanyi dalam pelbagai bahasa. Kadang-kadang klien minta lagu Jepun, Thai, Filipina atau Mandarin, saya terus setuju saja. Dari dulu saya memang belajar sebutan dan melatih diri supaya nyanyian saya betul-betul sedap didengar,” katanya.
Menurut Shiha, antara lagu bahasa asing yang pernah dinyanyikan termasuk Mandarin, Kantonis, Tamil, Thai, Filipina, Jepun, Korea, Sepanyol dan Arab. Kemahiran itu menjadikannya lebih bersedia untuk memenuhi permintaan pelbagai jenis penonton.
Dalam masa sama, Shiha tidak pernah berhenti belajar dan sentiasa mahu menambah ilmu bagi menjadi penyanyi yang versatil.
“Saya sangat kagum dengan mentor saya, Allahyarham Sharifah Aini dan juga Anita Sarawak. Mereka berdua cukup hebat dan boleh bawa pelbagai genre. Saya pun mahu jadi seperti itu, serba boleh dan tidak cepat puas hati,” ujarnya yang baru-baru ini menyampaikan lagu dalam bahasa Filipina dan Thai di empat acara sempena persidangan ASEAN.
Selain aktif di pentas nyanyian, Shiha juga sibuk menguruskan perniagaan di bawah syarikatnya, Shiha Zikir Empire (SZE) dan Shiha Zikir Nasi Ayam.
“Ramai mungkin belum tahu saya juga terlibat sebagai penganjur acara. SZE uruskan semuanya, dari muzik, pembukaan majlis, dekorasi, hingga ke bahagian kreatif. Kami buat dari A sampai Z,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Shiha sedang menyiapkan single baharu berkonsepkan tradisional yang turut menampilkan elemen silat, dan dijangka dilancarkan tidak lama lagi.






