Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, mengakui mengalami pengalaman berbeza sepanjang kehamilan anak ketiganya apabila berdepan situasi mengidam emas, sesuatu yang sebelum ini sukar dipercayai.
Uyaina atau nama lengkapnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, berkata, pada awal kehamilan dia hanya menginginkan lauk tradisional Melayu, namun keinginan itu berubah apabila rasa mengidam emas semakin ketara sehingga membuatkan selera makan bukan lagi keutamaan.
“Mengidam emas itu betul. Itulah perbezaan pengalaman mengandung anak ketiga ini. Mula-mula saya nak lauk tradisional Melayu saja, selain daripada itu tak nak. Tapi lama-kelamaan rasa macam tak makan pun tak apa, asalkan dapat emas,” katanya sambil tertawa.
Uyaina mengakui sebelum ini dia sukar mempercayai cerita wanita hamil yang mengidam perkara luar biasa, namun kini memahami situasi tersebut selepas mengalaminya sendiri
“Dulu macam tak boleh percaya, tapi sekarang bila dah mengalaminya sendiri, rupanya betul,” katanya.
Mengulas lanjut, Uyaina berkata dia dan suami tetap berpada-pada dalam berbelanja meskipun keinginannya terhadap emas semakin kuat.
“Banyak juga saya dapat. Tapi kami berpada-pada. Kalau beli emas macam beli ikan di pasar tak mengapa. Suami bagi kad kredit, kami beli, malah sampai ke Kuala Pilah dan tak sangka harga emas di sana sangat murah,” katanya.
Uyaina turut memaklumkan, perkongsiannya mengenai mengidam emas itu mendapat reaksi ramai ibu mengandung yang dapat mengaitkan pengalaman sama.
“Sebenarnya ramai ibu mengandung yang ‘relate’ dengan saya. Yang kelakarnya, ada juga golongan suami yang mesej minta saya berhenti kongsi mengenai emas. Saya beritahu mereka ini bukan beli barang yang tak berbaloi, nanti sama-sama juga dapat manfaat,” katanya.
Uyaina berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab di GSC Mid Valley, malam Selasa.
Mengulas perkembangan kehamilannya, Uyaina memaklumkan dia kini menghitung hari untuk melahirkan anak ketiga dan dijangka bersalin dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.
“Alhamdulillah, tinggal dua minggu saja lagi. Kesihatan setakat ini baik, cuma biasalah masuk trimester ketiga, penat dia memang lain macam,” katanya.
Tambah Uyaina, dia dan suami memilih untuk tidak mengetahui jantina bayi dan mahu menjadikannya satu kejutan istimewa.
“Jantina masih rahsia sebab saya belum buka folder yang doktor beri. Nama untuk kedua-dua jantina pun sudah disediakan. Kalau ikut pengalaman sebelum ini, rasanya saya yang akan pilih sebab anak pertama dan kedua pun saya yang cadangkan dan suami, Syahiran biasanya akan terima,” katanya.
Sekadar info, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh dan penyanyi, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Raja Urhan, 4, dan Raja Urayyan, 2 tahun.






