“Setiap daripada kita ada ‘struggle’ masing-masing”.
Demikian respons pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad selepas kenyataannya yang di muat naik di Threads pada Khamis mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Bagaimanapun, sedar dengan pelbagai respons negatif yang diterima, Uyaina atau nama penuhnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, tampil memohon maaf secara terbuka kepada golongan wanita yang sedang berusaha untuk hamil susulan perkongsiannya mengenai ‘Pejuang Garis Satu dan Dua’.
Menurut Uyaina, dia tidak berniat mahu mengguris ataupun memperlekehkan mana-mana pihak yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata.
“Penulisan saya dan perkongsian tentang Pejuang Garis 1 semalam tiba-tiba jadi perdebatan pula. Siap suruh saya hapuskan.
“Lebih lucu, saya bukan daripada golongan yang sedang cuba mendapatkan zuriat (TTC). Maaflah kalau mereka yang sedang TTC terguris dengan perkongsian saya,” katanya di Threads.


Mengulas lanjut, Uyaina berkata, perkongsiannya sebelum ini hanya sekadar ingin menyatakan tentang kewujudan golongan wanita yang berjuang untuk mendapatkan ‘garis satu’ atau tidak hamil dalam jarak yang terlalu dekat.
“Saya tidak membandingkan. Apatah lagi memperkecilkan. Malah saya selalu doakan orang yang sedang cuba hamil dapat dikurniakan zuriat.
“Saya cuma nyatakan Pejuang Garis 1 ini wujud. Bukan untuk membanding-bandingkan perjuangan siapa lebih susah sebab masing-masing ada perjuangan tersendiri,” jelasnya.
Dalam masa sama, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu menegaskan bahawa setiap wanita yang berusaha untuk hamil ataupun tidak mempunyai hak dan usaha mereka sendiri.
“Setiap daripada kita ada ‘struggle’ masing-masing. Garis Dua dengan usaha untuk dapatkan anak. Garis 1 dengan usaha untuk merancang. Dua-dua tak mudah.
“Orang itu tulis,Kalau dah rancang masih dapat anak, itu hak Allah. Pada saya, sama juga. Yang tengah TTC, dah cuba macam-macam tapi belum dapat anak, itu juga hak Allah.
“Tak perlu bandingkan. Sekali lagi, masing-masing ada usaha masing-masing. Jaga kata-kata kita dan doakan yang baik-baik saja,” tulisnya.
Sebelum ini, Uyaina menerusi sebuah hantaran di Threads menyatakan bahawa wujudnya golongan wanita yang berusaha untuk tidak kembali hamil melalui tekanan yang sama seperti mereka yang berjuang untuk mendapatkan ‘garis dua’.
Kata Uyaina, golongan wanita seperti itu wujud bukan kerana tidak bersyukur tetapi mereka mempunyai alasan tersendiri yang perlu diutamakan lebih-lebih lagi ia melibatkan faktor kesihatan, kewangan serta komitmen yang perlu digalas.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon itu turut berkongsi perjalanannya melalui prosedure memasukkan Alat Dalam Rahim (IUD) sebagai langkah awal untuk mencegah kehamilan dalam jangka masa yang rapat selepas melahirkan anak ketiganya pada Januari lalu.






