KAPTEN karismatik Liverpool, Virgil Van Dijk, secara rasmi memeterai lanjutan kontrak baharu mengikat pertahanan tengah Belanda itu untuk terus kekal di Anfield sehingga tahun 2027.
Pengumuman yang dibuat kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Khamis menamatkan spekulasi berpanjangan yang menyelubungi masa depannya sejak beberapa bulan lalu.
Van Dijk, yang menyertai Liverpool pada tahun 2017 dengan rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan yang dilaporkan bernilai 75 juta pound sterling, menjadi tonggak utama barisan pertahanan yang membantu The Reds meraih pelbagai trofi, termasuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama dalam sejarah kelab.
“Ia adalah perasaan yang membanggakan, perasaan gembira dan sungguh luar biasa…
“Perjalanan yang telah saya lalui setakat ini dalam karier, untuk dapat melanjutkannya dengan dua tahun lagi di kelab ini adalah menakjubkan dan saya sangat gembira,” kata Van Dijk dalam satu kenyataan.
Kontrak Van Dijk sebelum ini dijadualkan berakhir pada Jun ini dan biarpun perbincangan rasmi mengenai lanjutan kontrak dimulakan pada awal musim ini, ia menemui jalan buntu.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang diberi lilitan kapten pada tahun 2023 selepas pemergian Jordan Henderson, berkata bulan lalu bahawa dia tidak tahu sama ada dia akan menjadi pemain Liverpool pada musim depan.
Bagaimanapun, segala keraguan dalam kalangan komuniti bola sepak Liverpool kini terhapus dengan pengumuman rasmi ini.
“Ia sentiasa Liverpool. Itu adalah kesnya. Ia sentiasa dalam fikiran saya, ia sentiasa menjadi rancangan dan ia sentiasa Liverpool…
“Tidak ada keraguan dalam fikiran saya bahawa ini adalah tempat yang sesuai untuk saya dan keluarga. Saya sebahagian daripada Liverpool,” tegas Van Dijk.
Van Dijk menyusul jejak langkah penyerang Mesir, Mohamed Salah, yang turut menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2027 baru-baru ini.
Direkrut ketika Juergen Klopp masih menerajui Anfield, Van Dijk dengan pantas membuktikan dirinya sebagai tunjang utama barisan belakang yang sebelum itu dilihat mudah dibolosi.
Kehadirannya mengubah Liverpool menjadi pencabar kejuaraan yang sebenar dalam musim-musim berikutnya, dan kini, dengan komitmen jangka panjangnya era baharu di bawah Arne Slot.