Van Nistelrooy (kanan) percaya pasukannya berhak bermain dalam masa tambahan di sebalik gol kemenangan kontroversi Maguire. Foto AFP
PENGENDALI Leicester City, Ruud van Nisterlooy kecewa selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Manchester United dalam pusingan keempat Piala FA hasil gol kontroversi pemain pertahanan, Harry Maguire.
Maguire menanduk masuk sepakan percuma Bruno Fernandes pada minit ke-93, tetapi penolong pengadil gagal melihat pemain pertahanan England itu sudah pun berada dalam keadaan ofsaid.
Video Bantuan Pengadil (VAR) juga tidak digunakan dalam perlawanan itu kerana ia hanya akan diperkenalkan bermula pada pusingan kelima Piala FA.
“Ia (gol Maguire) jelas ofsaid dan sangat sukar untuk diterima. Kami sepatutnya dapat bermain dalam masa tambahan.
“Kami bermula dengan baik serta menekan United dan kami berhak untuk mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
“Sudah tentu, kami tahu bahawa akan ada tekanan ke atas kami pada separuh masa kedua dan beberapa peluang, tetapi tidak terlalu memberikan kesan.
“Jadi, kami berhak untuk bermain masa tambahan dan mungkin ke penentuan penalti. Jadi, keputusan seperti ini sangat sukar untuk diterima,” katanya.
Leicester memasuki separuh masa dengan kelebihan 1-0 hasil jaringan Bobby De Cordova-Reid pada minit ke-42.
Bagaimanapun, pemain gantian Joshua Zirkzee menyamakan kedudukan pada minit ke-68 sebelum gol kemenangan lewat Maguire memastikan United mara ke pusingan kelima.