Vape: Cecair vape boleh undang kanser

Vape: Cecair vape boleh undang kanser


Kuala Lumpur: Penggunaan rokok elektronik atau vape bukan alternatif berhenti merokok, sebaliknya mendatangkan kerosakan kepada organ termasuk penyebab ketumbuhan dan mengurangkan kesuburan.

Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin berkata, ia disebabkan pelbagai bahan kimia serta logam berat dalam jus vape yang disifatkan berbahaya.

Menurutnya, kandungan nikotin dalam vape boleh menyebabkan kencing manis, darah tinggi, serangan jantung, strok, masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan, masalah menumpukan perhatian, masalah ingatan dan mengurangkan kesuburan.

“Kesan ini lebih teruk kepada kalangan kanak-kanak dan remaja kerana badan mereka masih dalam fasa perkembangan.

“Selain itu, gliserin sayuran (VG) dan propylene glycol (PG) iaitu bahan utama jus vape memudaratkan kesihatan mulut dan merosakkan paru-paru menyebabkan kesukaran pernafasan.

“Bukti saintifik tunjukkan perkaitan VG dan PG dengan ketumbuhan (tumor) dan merebak (metastasis) ke organ lain,” katanya.

Nur Amani Natasha berkata, vitamin E acetate iaitu komponen dalam VG menjadi penyebab penyakit paru-paru kronik yang sering dirujuk sebagai Evali (e-cigarette or vaping associated lung injury).

“Antara tanda-tanda Evali batuk berpanjangan tiga bulan, sukar bernafas, sakit dada, demam tidak dapat dikesan punca, muntah, sakit perut atau cirit-birit.

“Dalam kalangan pesakit Evali, apabila sampel tisu paru-paru dikaji, terbukti menunjukkan lapisan ‘minyak’ termendak di tisu paru-paru pesakit.

“Keadaan ini menyebabkan paru-paru tidak dapat menjalankan fungsi normal,” katanya.

Katanya, cecair vape juga mempunyai diasetil yang boleh mendap di saluran halus pernafasan atau sel paru-paru, menyebabkan radang serta parut pada tisu dan sel paru-paru dinamakan ‘paru-paru popcorn’.

“Antara simptomnya batuk berterusan, sukar bernafas serta nafas berbunyi bising dan rasa tidak selesa di bahagian dada,” katanya.

Menurutnya, cecair vape juga mengandungi logam berat seperti kadmium bersifat karsinogenik yang merosakkan sel dan membawa kepada kanser.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadmium mempunyai kesan toksik pada buah pinggang, paru-paru dan sistem rangka.

Malah, katanya, dadah seperti ketamin, methamphetamine dan THC dengan mudah boleh dimasukkan ke dalam cecair vape oleh pengusaha vape tidak bertanggungjawab.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top