Vape perlu diharamkan sepenuhnya – MCTC

Vape perlu diharamkan sepenuhnya – MCTC


redzuan.muharam@hmetro.com.mmy

Kuala Lumpur: Kegiatan jualan, pengedaran dan penggunaan rokok elektronik atau vape perlu diharamkan sepenuhnya di negara ini kerana ia adalah nyawa kedua kepada industri produk tembakau.

Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, pengharaman itu bagaimanapun tidak mudah kerana keputusan itu perlu dibuat oleh kerajaan yang belum mengharamkan sepenuhnya jualan dan penggunaan rokok elektronik di seluruh negara.

Menurut Muhammad Sha’ani, MCTC hanya boleh bersuara dengan melakukan gesaan dan menyampaikan maklum balas ahli namun tidak boleh membuat campur tangan dalam hal membuat keputusan atau urusan penggubalan undang-undang sedia ada.

“Pada 2016, Kementerian Kesihatan (KKM) atas desakan golongan profesional kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah syorkan kepada jemaah menteri untuk mengharamkan vape.

“Jemaah menteri mendapat tentangan namun akhirnya buat keputusan mengawal selia vape.

“Tapi sampai sekarang, apa yang berlaku adalah penularan vape dalam kalangan remaja hingga penggunaannya melebihi 20 peratus berbanding tiga hingga empat peratus sahaja pada 2016,” katanya ketika sidang media sempena Hari Anti Dadah Sedunia di Dewan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Taman Duta, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Anti Dadah Kebangsaan merangkap Pengerusi Biro Media dan Promosi PEMADAM Kebangsaan, Hashim Anang.

Menurut Muhammad Sha’ani, selain peranti, semua bentuk iklan dan promosi termasuk menerusi platform dalam talian juga perlu diharamkan bagi membanteras penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.

“Kalau almari (rak) pamerkan rokok mungkin perlukan kos (untuk dibawa keluar) tapi iklan di video dan papan elektronik tidak perlu diberi masa serta harus dihentikan.

“Media juga tidak perlu beri ruang malah tidak perlu jemput orang industri (vape) dalam perbincangan untuk sebarang rundingan.

“Ini kerana ramai tidak lihat muslihat industri produk tembakau dan vape kerana ada kajian mendapati ada ramuan amonia dalam tembakau yang mempercepatkan penyerapan nikotin dalam badan…itu yang membuatkan ketagihan,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, pengharaman vape perlu kerana penggunaannya semakin berleluasa dan paling membimbangkan adalah ramai remaja terjebak dengannya.

“Pemerhatian saya ada pelajar bawa telefon bimbit dan vape ke sekolah, majoritinya naik basikal dan simpan peranti itu bawah tempat duduk motosikal.

“Ia membimbangkan dan akan nampak seperti ibu bapa serta masyarakat sudah menghalalkan vape.

“Kita sekat permit (jualan) pun, tapi pembelian dalam talian sukar kerana remaja tidak anggap ia sebagai satu kesalahan. Ini kerana mereka tidak guna lagi jarum suntikan tapi vape yang sebahagiannya ada kandungan dadah serta dikhuatiri juga menyebabkan kemalangan ketika pemanduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR