VAR mampu tingkatkan kualiti Liga Malaysia

VAR mampu tingkatkan kualiti Liga Malaysia


KUALA LUMPUR – Perlawanan pertama pra musim Liga Malaysia 2024-2025 telah berlangsung semalam di mana Kuala Lumpur City FC (KL City) mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Negeri Sembilan FC.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu bagaimanapun melakar sejarah kerana ia menyaksikan video bantuan pengadil (VAR) diuji buat kali pertama untuk saingan liga Malaysia bagi musim 2024-2025 nanti.

Beberapa keputusan pengadil pada perlawanan semalam menyaksikan teknologi VAR diaplikasikan dalam perlawanan itu.

Meskipun tewas tipis dalam perlawanan semalam, Nasrullah Hanif, kapten Negeri Sembilan menyifatkan pasukannya semakin bertambah baik untuk memulakan musim baharu nanti.

Jelasnya, dia dan rakan sepasukan berada dalam motivasi terbaik selain merasakan Negeri Sembilan akan bertambah baik berbanding musim lalu.

Nasrullah juga sangat teruja dengan teknologi VAR yang akan digunakan bagi musim baharu nanti dan menyifatkan ini sebagai satu langkah untuk meningkatkan kualiti permainan dalam saingan Liga Malaysia.

“Saya harap mutu pengadilan untuk musim ini akan bertambah baik dengan bantuan VAR ini,” tambah Nasrullah.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City Miroslav Kuljanac pula berkongsi pandangan  pengunaan VAR dalam negara ini penting dan memerlukan masa untuk benar-benar sempurna.

Beliau mengakui, setiap liga di seluruh dunia yang mengunakan VAR perlukan masa untuk memastikan sistem tersebut sempurna untuk diguna pakai.

“Di Croatia, saya sudah terlibat dengan VAR dan kelewatan untuk mengetahui keputusan itu normal. Sistem VAR ini hanya memerlukan masa lagi.” ujarnya.

Perlawanan pra musim Liga Malaysia akan diteruskan lagi dengan beberapa aksi yang akan menutup tirainya pada 3 Mei nanti. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top