Vardy teruja sahut cabaran baharu di Itali

Vardy teruja sahut cabaran baharu di Itali


Cremona, Itali: Jamie Vardy bertekad membuktikan kehadirannya di Cremonese bukan sekadar untuk ‘bersara’ apabila bekas pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersiap sedia memulakan cabaran bersama kelab yang baru dinaikkan ke Serie A.

Pada usia 38 tahun, Vardy antara beberapa bintang veteran yang berhijrah ke Itali musim panas ini, termasuk Kevin De Bruyne (Napoli) dan Luka Modric (AC Milan), yang baru menyambut ulang tahun ke-40 pada Selasa.

Vardy tiba di kelab yang mengejutkan ramai apabila kini berkongsi enam mata penuh di puncak Serie A bersama juara bertahan, Napoli. Namun, ramai menjangkakan Cremonese bakal berjuang mengelak penyingkiran pada penghujung musim, meskipun disokong oleh hartawan keluli tempatan, Giovanni Arvedi.

Vardy berkata, dia mahu membawa semangat dan komitmen yang sama seperti ketika 13 tahunnya bersama Leicester City, di mana dia tiba dari kelab bukan liga, Fleetwood Town, ketika berusia lewat 20-an dan menjadi sebahagian penting dalam kisah dongeng bola sepak pada 2016.

“Sepanjang kerjaya saya, saya sering diragui. Selalu diragui, dan mungkin akan terus begitu. Tapi apa yang saya selalu lakukan adalah membuktikan mereka semua salah,” kata Vardy kepada wartawan di lokasi yang unik, muzium biola Cremona.

“Bila saya bercakap dengan pengurus (Davide Nicola), ramai di Itali meragui kemampuan Cremonese untuk kekal dalam liga. Tapi dengan cara kerja pengurus dan semangat yang dia bawa, itu bukan matlamat dia.

“Melihat bagaimana kami bermula musim ini, ia luar biasa. Kami tahu musim masih panjang, tapi itulah jalan dia nak ambil – menjadi ‘underdog’ yang melangkaui jangkaan.”

Vardy menambah: “Dapat menjadi sebahagian daripada itu, membuktikan orang salah, dan berjuang demi lencana ini, itu antara sebab utama saya datang ke sini.”

Bekas penyerang England itu menyertai Cremonese minggu lalu dengan kontrak setahun dan pilihan lanjutan jika kelab itu berjaya kekal di Serie A. Dia juga terbuka tentang hasratnya untuk merasai pengalaman baharu dalam budaya bola sepak yang beliau kagumi.

“Bola sepak adalah bahasa tersendiri”

Kepada media Itali, Vardy berkongsi bagaimana semasa kecil dia sering menonton perlawanan Serie A di televisyen UK, dan menyebut legenda Alessandro Del Piero sebagai sumber inspirasi.

“Satu perkara yang kekal adalah bola sepak itu bahasa sejagat. Anda boleh berbicara melalui bola sepak,” kata Vardy.

“Dapat berlatih bersama pemain-pemain di sini dan rasa diterima sangat bermakna bagi saya. Ia permulaan yang baik dan minggu pertama sangat positif.”

Vardy paling dikenali kerana memenangi EPL di bawah Claudio Ranieri, tetapi menurutnya, seorang lagi bekas pengurus Leicester dari Itali, Enzo Maresca adalah orang yang meyakinkannya untuk berpindah ke Cremonese.

“Hanya seorang yang saya hubungi sepanjang musim panas, dan kami masih berhubung, Enzo,” katanya.

“Saya sempat berbual panjang dengannya bila tahu peluang ini akan menjadi kenyataan, dan dia hanya memuji kelab ini dan kawasan sekeliling, serta bandar Cremona. Semuanya.

“Dengan nasihat dia, saya putuskan untuk datang ke sini. Saya bincang dengan keluarga dan memang ini satu-satunya destinasi saya.”

Vardy kini bersedia untuk tunjukkan kepada semua siapa diri saya yang sebenar bersama Cremonese, yang akan bertemu Verona pada Isnin, sambil membiasakan keluarganya dengan budaya baharu.

“Ia akan jadi pengalaman yang menyeronokkan, bukan sahaja untuk saya sebagai pemain, tapi juga untuk keluarga,” katanya.

“Belajar bahasa baharu, menyesuaikan diri dengan kehidupan di Itali dan itu sesuatu yang kami sekeluarga sangat nantikan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top