Vellapandian (kiri) bersalam Ahmad Faedzal ketika majlis serah tugas di ISN pada Selasa. Foto ISN
INSTITUT Sukan Negara (ISN) kini mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu apabila Dr P Vellapandian dilantik bagi menerajui institusi sukan negara itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan Vellapandian, 56, yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), diumumkan Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Marina Chin dalam satu sidang media di Bukit Jalil, pada Selasa.
Vellapandian menggantikan Ahmad Faedzal Md Ramli yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada Isnin lalu.
Menurut Datuk Marina, Vellapandian membawa bersamanya pengalaman luas dalam bidang sains sukan, psikologi sukan, penyelidikan dan pembangunan prestasi atlet lebih dua dekad.
“Kepakaran beliau dalam pembangunan atlet berprestasi tinggi serta pengurusan program sukan elit diyakini akan memacu ISN ke tahap yang lebih tinggi dalam menyokong kecemerlangan sukan negara,” kata Marina.
Pemilihan Vellapandian dibuat menerusi proses terbuka di mana semua pihak yang berminat dan berkelayakan dipelawa untuk mengemukakan permohonan.
Selain pernah berkhidmat sebagai CEO IYRES, sebuah institut di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Vellapandian juga pernah memegang jawatan penting di ISN, termasuk Pengarah Bahagian Prestasi Sukan dan Ketua Program Podium.
Dari segi kelayakan akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Psikologi Sukan daripada University of Western Australia, serta Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dalam Sains Sukan daripada universiti tempatan.
Menerusi pengalaman dan kepakaran dimiliki, Vellapandian dijangka mampu membawa ISN ke tahap lebih tinggi dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan negara.