JOHOR melakar sejarah apabila Velodrom Johor di Iskandar Puteri diiktiraf secara rasmi sebagai antara 11 Pusat Satelit Pembangunan Serantau Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pada Sabtu
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan pencapaian besar kepada Johor dan perkembangan sukan berbasikal negara.
Malah menurutnya, pengiktirafan tersebut sekali gus menjadikan velodrom berkenaan mencul selaku velodrom pertama di Asia Tenggara dan keempat di Asia yang diiktiraf selaku pusat seumpamanya.
“Pengiktirafan ini menjadikan Malaysia kini berada dalam senarai 11 pusat satelit dunia dan ini amat membanggakan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UCI, David Lappartient kerana hadir ke Johor dan mengiktiraf velodrom ini sebagai salah satu daripada empat pusat satelit dunia di Asia,” katanya.
Hannah berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Pusat Satelit Pembangunan Serantau UCI di Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Selain Lappartient, majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh Gill dan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Tambah Hannah, status pusat satelit itu turut membuka ruang lebih luas untuk Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia selain memanfaatkan geran padanan kerajaan dalam usaha memperkasakan sukan berbasikal di negara ini.
Malah katanya, pusat tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada acara trek, malah turut memacu perkembangan lain seperti Basikal BMX yang semakin digemari generasi muda hari ini.
“BMX lebih mudah diakses dan kosnya lebih rendah dna kita kita mahu lebih ramai kanak-kanak terlibat dalam sukan ini.
“Jadi dengan pengiktirafan ini, pasti lebih banyak sokongan dan pelaburan akan datang daripada UCI, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Lappartient memuji tahap infrastruktur di Velodrom Johor yang disifatkannya setanding pusat latihan antarabangsa.
“Malaysia kini sebahagian daripada rangkaian global 11 pusat satelit UCI. Di sini, velodrom dan trek BMX berada pada tahap sangat baik,” katanya.
Ringkasan AI
- JOHOR melakar sejarah dengan Velodrom Johor di Iskandar Puteri diiktiraf sebagai antara 11 Pusat Satelit Pembangunan Serantau UCI
- Pengiktirafan menjadikan Velodrom Johor velodrom pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh UCI
- Malaysia kini dalam senarai 11 pusat satelit UCI di dunia
- Pusat satelit ini akan membolehkan Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dan memperkasakan sukan berbasikal di negara
- Pusat tersebut tidak hanya fokus pada acara trek tetapi juga memacu perkembangan sukan BASIKAL BMX






