Budapest: Jika Max Verstappen menyimpan hasrat untuk berhijrah ke Mercedes pada musim 2026, impian itu kini berkubur selepas pilihan itu tidak lagi tersedia buat juara dunia empat kali itu.
Spekulasi masa depan Verstappen hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu berikutan kegagalan Red Bull membina jentera kompetitif untuk memburu kejuaraan musim ini.
Walaupun pelumba Belanda berusia 27 tahun itu masih mampu mencatat dua kemenangan musim ini, kekalahan di Grand Prix Belgium menyaksikan dia kini ketinggalan 81 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri, dengan rakan sepasukan McLaren, Lando Norris menjadi satu-satunya pencabar realistik.
Desas-desus perpindahan semakin memuncak apabila bos Mercedes, Toto Wolff, mengesahkan beliau pernah berbincang dengan Verstappen mengenai perpindahan sensasi ke Silver Arrows.
Situasi semakin menarik apabila prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner, dipecat, namun Verstappen menegaskan pemergian Horner tidak menjejaskan komitmennya terhadap pasukan.
Kontrak Verstappen bersama Red Bull yang sah sehingga 2028 dilaporkan mengandungi klausa pelepasan berdasarkan prestasi, yang membolehkan dia meninggalkan pasukan lebih awal sekiranya berada di luar kelompok tiga teratas pada waktu rehat musim panas Formula 1.
Bagaimanapun, Verstappen kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan, dengan George Russell di tempat keempat dan ketinggalan 28 mata. Dengan maksimum 25 mata ditawarkan di Grand Prix Hungary hujung minggu ini perlumbaan terakhir sebelum rehat musim panas, Verstappen dijamin kekal dalam kelompok tiga teratas.
Ini sekali gus menyekat pengaktifan klausa pelepasan tersebut.
Walaupun perpindahan masih boleh berlaku sekiranya Mercedes atau Verstappen membayar pampasan penuh baki kontraknya bersama Red Bull, jumlah yang terlalu tinggi membuatkan ia tidak realistik dan tidak dipertimbangkan.
Sebaliknya, Mercedes dijangka mengekalkan barisan pemandu sedia ada George Russell dan pelumba rookie, Kimi Antonelli yang kedua-duanya akan tamat kontrak hujung 2025.
Menurut laporan Daily Mail, pengumuman rasmi dijangka tidak dibuat sebelum perlumbaan di Hungaroring, namun Russell dilapor hampir menandatangani kontrak baharu bernilai £30 juta (RM183 juta) semusim untuk tempoh beberapa tahun.
Sementara itu, Antonelli yang menunjukkan permulaan cemerlang dalam karier F1, kini bergelut apabila hanya mengutip mata dalam satu daripada tujuh perlumbaan terakhir, namun bakat besar pelumba berusia 18 tahun itu diyakini cukup untuk mengekalkan tempatnya dalam pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd