Amsterdam: Max Verstappen akan menggunakan nombor perlumbaan tiga milik Daniel Ricciardo bermula musim depan selepas Lando Norris meletakkan nombor satu pada jentera McLaren miliknya selaku juara dunia Formula Satu (F1).
Juara dunia empat kali dari Red Bull itu sebelum ini berlumba menggunakan nombor 33 sehingga meraih gelaran dunia pertamanya pada 2021, dengan nombor itu turut terpampang pada pelbagai topi, baju peminat malah tatu penyokong setia.
“Nombor kegemaran saya sentiasa nombor tiga, selain nombor satu,” kata pelumba Belanda itu kepada Viaplay.
“Sekarang kami boleh bertukar, jadi ia akan jadi nombor tiga.
“Nombor 33 memang tidak ada masalah, tetapi saya lebih suka satu angka tiga berbanding dua. Saya selalu kata ia melambangkan tuah berganda, tetapi saya rasa tuah saya dalam F1 sudah pun ada.”
Pelumba Australia, Ricciardo pernah menjadi rakan sepasukan Verstappen di Red Bull dari 2016 hingga 2018, namun kini sudah bersara.
Badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bersama pelumba berkenaan sudah memberi kebenaran untuk nombor tiga digunakan semula.
Sebelum ini, pelumba diwajibkan menggunakan nombor yang sama sepanjang kerjaya mereka dan nombor hanya boleh diberikan semula sekiranya tidak digunakan dalam tempoh dua musim berturut-turut.
Ricciardo kali terakhir berlumba di Grand Prix Singapura pada September tahun lalu.
Norris sebelum ini mengesahkan bulan ini bahawa dia akan menukar nombor empat kepada nombor satu selaku juara dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






