KFA mengumumkan Victor Andrag sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut bagi musim 2025-2026. Foto KFA
PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan pelantikan Victor Andrag sebagai Ketua Jurulatih pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025–2026.
Pengumuman itu menandakan kepulangan rasmi bekas pemain lagenda dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu ke pentas utama pembangunan bola sepak negeri.
Victor, 49, bukanlah nama asing dalam arena bola sepak Malaysia kerana pernah mencipta nama sebagai kapten skuad yang meraih kejayaan ‘juara berganda’ pada musim 2006–2007 dan 2007–2008 bersama Kedah, selain dua kali dinobatkan sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Liga Super.
Beliau mula terlibat dalam bidang kejurulatihan sebaik sahaja bersara, termasuk memimpin skuad belia Kedah dan menjadi penolong jurulatih pasukan utama sejak 2019.
Legenda bola sepak Kedah itu turut menggalas tugas sebagai ketua jurulatih interim KDA FC pada tahun 2022 dan 2024.
Pada tahun 2025, Victor berdepan pelbagai cabaran seperti isu tunggakan gaji dan prestasi pasukan yang menurun bersama KDA FC. Namun, kepimpinan beliau yang menekankan semangat berpasukan serta sokongan terhadap pemain muda mendapat pujian pelbagai pihak.
Sementara itu, KFA dalam kenyataannya berkata, penyertaan dalam Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL) membawa matlamat membina semula asas bola sepak negeri secara mampan.
“Langkah ini bertujuan menyediakan lebih banyak ruang dan platform yang stabil kepada pemain-pemain muda, bakat baharu berpotensi atau pemain tempatan sedia ada untuk meningkatkan prestasi,” katanya.
KFA turut menegaskan bahawa penyertaan ini bukan untuk menyempitkan persaingan, sebaliknya memperkaya ekosistem pembangunan dan menawarkan alternatif yang kompetitif kepada pemain bola sepak negeri.