Victoria Beckham kekal wanita terkaya dalam carta WAG

Victoria Beckham kekal wanita terkaya dalam carta WAG


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Victoria Beckham, Pilar Rubio dan Anna Lewandowska terus mengungguli carta WAG (isteri dan teman wanita) paling kaya di dunia, membuktikan status mereka bukan sekadar ‘isteri kepada pemain bola sepak’, tetapi turut mencerminkan kekuatan, pengaruh dan kejayaan luar biasa dalam dunia moden.

Menerusi laporan Daily Mail, Victoria, isteri kepada legenda England, David Beckham, berada di tangga teratas dengan kekayaan dianggarkan berjumlah £54.2 juta (RM322 juta).

Bekas anggota kumpulan Spice Girls yang dikenali sebagai ‘Posh Spice’ itu kini menakluk dunia fesyen dengan labelnya sendiri sejak 2008 dan kekal relevan menerusi kerjasama berprofil tinggi bersama pelbagai jenama antarabangsa.

Bersama David, mereka menjadi pasangan ‘kuasa’ yang bukan sahaja mendominasi halaman hiburan, malah ruang niaga global.

Di kedudukan kedua, Pilar Rubio, isteri kepada bekas pertahanan Real Madrid dan juara dunia Sepanyol, Sergio Ramos dengan mengumpul kekayaan sekitar £45.7 juta (RM272 juta).

Bermula sebagai pengacara rancangan hiburan popular Se Lo Que Hicisteis, Pilar melebarkan sayap ke dunia peragaan dan reka bentuk fesyen.

Penampilannya di acara-acara mewah serta kerjasama dengan jenama terkenal terus melonjakkan popularitinya.

Melengkapkan senarai tiga teratas ialah Anna Lewandowska, isteri kepada penyerang Barcelona, Robert Lewandowski.

Dengan kekayaan dianggarkan £34.8 juta (RM207 juta), Anna bukan sahaja bekas juara karate yang pernah merangkul tiga pingat Kejohanan Dunia dan enam Kejohanan Eropah, malah turut dikenali sebagai pakar pemakanan dan usahawan.

Anna mengasaskan jenama makanan sihat dan memiliki gim eksklusif di Sepanyol yang menjadi pilihan golongan elit.

Ketiga-tiga figura ini membuktikan gelaran WAG bukan lagi sinonim dengan glamor semata-mata.

Sebaliknya, mereka menjadi lambang wanita moden yang mampu membina empayar sendiri dengan mencipta kejayaan setanding malah melebihi pasangan mereka di pentas sukan antarabangsa.

Fenomena WAG terus berubah wajah daripada stereotaip sosial kepada simbol kuasa, kecerdikan dan pengaruh global.

Dalam dunia bola sepak yang semakin terhubung dengan industri hiburan dan gaya hidup, ketiga-tiga wanita ini muncul sebagai inspirasi kepada jutaan wanita di seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top