[VIDEO] Ada cara selamatkan bola sepak Kedah – NGO

[VIDEO] Ada cara selamatkan bola sepak Kedah – NGO


GABUNGAN badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada anak-anak Kedah masih yakin ada lagi harapan untuk menyelamatkan pasukan bola sepak negeri itu daripada terkubur di pentas arena tempatan selepas kini bergelut dengan krisis kewangan.

Pengerusi Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Datuk Romli Ishak, menegaskan bahawa gabungan NGO itu menjelaskan masih ada cara untuk untuk memastikan bola sepak Kedah terus bernafas dan kembali bangkit.

Menurutnya, mereka belum bersedia untuk mendedahkan keseluruhan cara untuk menyelamatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dianggap satu kejutan yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita hadir melalui lebih 10 NGO yang kini bergabung pada program ini bersama bekas pemain, jurulatih dan juga kelab penyokong pasukan Hijau Kuning pada hari ini dengan objektif penganjuran untuk menyatakan, keprihatinan bersama mewakili seluruh rakyat Kedah tentang nasib dan hala tuju pasukan Kedah,” katanya pada malam Selasa.

Beliau ditemui pada Majlis Aidilfitri NGO Bersama Penyokong Hijau Kuning dan Bekas Pemain Kedah di Alor Setar.

Romli (tengah) bersama pemimpin NGO dan bekas pemain pada Majlis Aidilfitri NGO Bersama Penyokong Hijau Kuning dan Bekas Pemain Kedah di Alor Setar pada malam Selasa.

Romli berkata, usaha sedang giat dilakukan oleh NGO mencari jalan penyelesaian menyelamatkan pasukan, termasuk berbincang dengan pihak berkepentingan.

Beliau turut berkongsi betapa beratnya situasi yang dihadapi pemain apabila ramai yang tidak menerima gaji hingga hampir setahun.

“Ada pemain terpaksa pulang ke negara asal tanpa membawa sebarang hasil selepas tamat liga. Ini sangat memalukan dan tidak seharusnya berlaku kepada pasukan kebanggaan negeri Kedah,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat pelan kejutan yang sedang dirangka untuk menyelamatkan pasukan ini, namun perinciannya belum boleh didedahkan sepenuhnya.

“Kami juga sedang berbincang dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran kewangan yang dihadapi kelab ini, kita berharap ia akan dapat diselesaikan,” ujarnya.

Menurut Romli, menyelamatkan bola sepak Kedah tidak semestinya bergantung kepada struktur pasukan semasa, kerana ada banyak pendekatan lain yang boleh diambil untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Terdahulu media melaporkan KDA FC kini menghadapi cabaran besar dengan tunggakan gaji pemain dan pegawai sebanyak RM7 juta, yang perlu diselesaikan sebelum 30 April, menurut syarat yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Walaubagaimanapun, mereka boleh menarik nafas lega apabila Jawatankuasa First Instance Body (FIB) bersetuju untuk memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan semua dokumen untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024 – 2025 bagi Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS.

Pihak FIB bersetuju untuk menetapkan 10 Mei ini sebagai tarikh akhir bagi kesemua kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan yang masih belum lengkap.



Source link

OR

Scroll to Top