PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, meluahkan kekecewaannya apabila merasakan dirinya ditinggalkan bersendirian menguruskan kelab itu yang kini berdepan kemelut kewangan.
Lebih menyedihkan, katanya, beberapa bekas rakan pemilik telah menarik diri, manakala Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pula menubuhkan pasukan baharu, Kedah FA, yang akan beraksi dalam Liga Semi Pro A1 musim ini.
“Sepatutnya, ketika saat sukar beginilah kita kekal bersama, seperti satu keluarga. Kita bina pasukan ini bersama-sama sejak 2021 atas semangat kebersamaan dan perkongsian strategik.
“Bukan mudah, dan saya akui sebagai manusia, saya kecewa ditinggalkan begini,” katanya pada sidang akhbar pada malam Isnin.
Menurut Mohd Daud, walaupun dari segi undang-undang KFA berhak menubuhkan pasukan baharu, namun dari sudut moral dan semangat kekeluargaan, tindakan itu menimbulkan persoalan.
Mohd Daud (tengah, barisan kedua) bersama sebahagian pemain KDA FC yang bakal mengharungi Liga Semi Pro A1 musim 2025-2026.
“KDA FC adalah anak sulung hasil penswastaan oleh KFA sejak 2019. Kita diberi amanah untuk menjaga dan membesarkannya.
“Tapi apabila anak ini sedang berusaha bangkit, tiba-tiba muncul ‘anak baru’, Kedah FA. Saya tak kata salah, tapi saya harap jangan abaikan anak yang pertama,” ujarnya.
Mohd Daud turut berharap KFA tampil memainkan peranan proaktif bagi membantu KDA FC dalam menghadapi cabaran semasa, memandangkan kelab itu masih bernaung di bawah legasi dan sejarah bola sepak negeri Kedah.
“Kalau dahulu kita bersama ketika senang, saya mohon agar dalam keadaan susah ini pun kita tetap bersama. Jangan biar KDA FC terkontang-kanting tanpa hala tuju,” katanya.
Beliau turut menyeru agar prinsip asal penswastaan iaitu berpaksikan kerjasama dan muafakat dapat dihidupkan kembali demi masa depan bola sepak negeri.