Skuad Harimau Muda B-23 diundi bersama Vietnam dan Laos dalam Kumpulan B Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini. FOTO: Malaysia NT
DETIK kebangkitan skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara bakal diuji lebih awal di Bangkok apabila Malaysia diundi menentang dua seteru serantau Vietnam dan Laos dalam saingan Kumpulan B Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.
Undian yang diumumkan pada Ahad itu membuka lembaran baharu buat anak buah Nafuzi Zain untuk memperbaiki maruah selepas episod duka di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2026.
Bagi pengendali kelahiran Terengganu itu, pentas Bangkok menjadi peluang terbaik membuktikan Harimau Muda masih memiliki taring di rantau Asia Tenggara.
Dalam masa sama, Kumpulan A menyaksikan pasukan tuan rumah, Thailand diundi bersama Kemboja dan Laos dengan skuad Young War Elephants dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, penyandang juara edisi Vietnam 2023, Indonesia, diundi dalam Kumpulan C bersama Singapura, Filipina dan Myanmar.
Pada edisi lalu, skuad Garuda Muda menumpaskan Thailand 5-2 pada masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.
Temasya Sukan SEA Thailand 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan membuka ruang baharu buat skuad negara menebus kegagalan lalu.
Kali terakhir Malaysia menjulang pingat emas bola sepak ialah pada edisi Indonesia 2011 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Ia merupakan detik gemilang yang terus menjadi inspirasi buat Harimau Muda untuk kembali mengaum di pentas serantau
Ringkasan AI
- Detik kebangkitan skuad bola sepak Bawah 23 Malaysia diuji di Bangkok menentang Vietnam dan Laos dalam Kumpulan B Sukan SEA 2025
- Anak buah Nafuzi Zain berpeluang memperbaiki maruah setelah kegagalan di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2026
- Pentas Bangkok menjadi kesempatan bagi Harimau Muda membuktikan kekuatan di Asia Tenggara
- Indonesia, juara edisi sebelumnya diundi dalam Kumpulan C bersama Singapura, Filipina dan Myanmar
- Sukan SEA Thailand 2025 menawarkan peluang Malaysia menebus kegagalan lalu, dengan inspirasi dari kejayaan edisi Indonesia 2011