BIRMINGHAM: Aston Villa bangkit bergaya menewaskan Nottingham Forest 3-1 di Villa Park bagi memadam kekecewaan dibelasah Arsenal pertengahan minggu lalu, sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
Jaringan Ollie Watkins di penghujung babak pertama menghadiahkan kelebihan wajar buat skuad kendalian Unai Emery sebelum John McGinn menggandakan kedudukan seawal minit ke-49.
Forest cuba menghidupkan perlawanan apabila Morgan Gibbs-White merapatkan jurang jaringan, namun kesilapan mudah penjaga gol, John Victor mengundang padah buat pelawat.
McGinn tenang menyempurnakan gol keduanya selepas memanfaatkan kekalutan Victor yang meninggalkan gawang, sekali gus memastikan kemenangan mutlak buat tuan rumah.
Keputusan itu menamatkan kebimbangan terhadap momentum Villa selepas rentak 11 kemenangan berturut-turut mereka terhenti akibat kekalahan 1-4 kepada Arsenal di Emirates.
Rekod cemerlang di Villa Park terus utuh apabila kemenangan ke-11 berturut-turut di laman sendiri sejak Ogos mengukuhkan status stadium itu sebagai benteng kebal.
Villa kini mengumpul 42 mata, tiga mata di belakang Arsenal dan satu di hadapan Manchester City, manakala Forest kekal bergelut berhampiran zon penyingkiran.






