Villa terlepas peluang kejar takhta

Villa terlepas peluang kejar takhta


London: Ketika Aston Villa hampir tewas 0-1 kepada Leeds United, pemain gantian Tammy Abraham hanya memerlukan 13 minit di atas padang untuk mencipta impak apabila menolak masuk bola menggunakan lutut pada minit ke-88 bagi gol penyamaan.

Gol itu adalah jaringan kedua penyerang berusia 28 tahun itu sejak kembali menyertai Villa menerusi perpindahan bernilai £18.2 juta (kira-kira RM109 juta) dari Besiktas pada Januari. Sebelum ini, dia turut menjaringkan gol ketika tewas 1-3 kepada Newcastle United dalam saingan Piala FA, tujuh hari lalu.

Menjaringkan gol buat Villa bukan perkara baharu buat pemain yang sudah membuat 11 penampilan bersama skuad kebangsaan England itu. Dia meledak 25 gol dalam 37 aksi Kejuaraan bagi membantu kelab itu naik ke liga utama pada musim 2018-19 ketika dipinjamkan dari Chelsea.

Selepas tempoh awal bersama Villa, Abraham beraksi dua musim di Chelsea, tiga musim di AS Roma, semusim secara pinjaman di AC Milan dan kemudian dipinjamkan ke Besiktas sebelum kelab Turkiye itu membelinya dan menjualnya semula kepada Villa untuk meraih keuntungan.

“Rasanya seperti mimpi dapat kembali dan bermain untuk kelab ini.

“Saya gembira berada di sini dan membawa tenaga tambahan.

“Saya perlu berada di dalam kotak penalti, peka dan bersedia. Mujur saya dapat jaringkan gol itu. Ia di depan antara penyokong terbaik di dunia,” kata Abraham.

Walaupun berjaya mengikat kedudukan, Villa yang kini di tangga ketiga sudah tercicir tujuh mata daripada empat perlawanan terakhir dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal dengan 11 perlawanan berbaki dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ditanya sama ada skuad Villa merasakan mereka pencabar kejuaraan, Abraham berkata: “Siapa tahu apa boleh berlaku? Kami tidak terlalu jauh daripada Arsenal di puncak. Hari ini kami tidak dapat kemenangan tetapi kami perlu terus berusaha.

“Apabila saya tiba, saya berbincang dengan beberapa rakan sepasukan dan dari jauh pun boleh lihat pasukan ini ada banyak kualiti. Kami gembira dengan kedudukan sekarang tetapi jurangnya rapat, jadi kami perlu terus menekan dan percaya kepada diri sendiri.

“Saya gembira kembali ke rumah. Cuma perlu cari rumah sekarang!”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top