Villa ungguli pertarungan slot Eropah, impian Forest tercalar

Villa ungguli pertarungan slot Eropah, impian Forest tercalar


ASTON Villa mengungguli drama penuh aksi di Stadium Villa Park apabila berjaya menundukkan Nottingham Forest 2-1 dalam pertarungan sengit Liga Perdana Inggeris (EPL) merebut tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Morgan Rogers dan Donyell Malen muncul wira Villa dengan jaringan pantas dalam tempoh dua minit, menenggelamkan impian Forest untuk kembali ke pentas elit Eropah selepas 44 tahun.

Villa meneruskan rentak kemenangan cemerlang, dengan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan melonjak ke tangga keenam dengan 51 mata.

Anak buah Unai Emery kini hanya enam mata di belakang Forest yang menduduki tangga ketiga.

“Kemenangan ini penting, saya sangat gembira tetapi perjalanan masih panjang.

“Kami berjaya meraih sembilan mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir, tetapi saingan untuk ke Eropah masih sengit,” ujar Emery.

Rogers membuka tirai jaringan pada minit ke-13, menewaskan Matz Sels selepas menyudahkan hantaran Youri Tielemans.

Dua minit kemudian, Malen menggandakan kelebihan Villa apabila menterjemahkan hantaran Ian Maatsen.

Namun, Forest kemudian bangkit di separuh masa kedua apabila Jota Silva merapatkan jurang minit ke-57 sekali gus menyalakan semula perlawanan di Villa Park.

“Separuh masa pertama kami sangat buruk dan tidak teratur.

“Tetapi kami bangkit di separuh masa kedua dan memberikan perlawanan yang sengit,” kata pengendali Forest, Nuno Espirito Santo.

Statistik perlawanan juga menunjukkan Forest lebih memberikan tekanan apabila melancarkan 19 percubaan berbanding 17 Villa.

Malah, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi rembatan Murillo yang terkena palang.

Sementara itu, bintang dari Manchester United, Marcus Rashford pula gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menambah gol Villa, berikutan ketangkasan aksi cemerlang Sels.

Kemenangan ini menjadi suntikan semangat buat Villa menjelang perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes.

Forest pula pulang dengan kekecewaan setelah impian Eropah tercalar sementara bagi menanti kunjungan Everton di City Ground, pada 12 April.



Source link

OR