KEJUARAAN Petronas MAM Cub Prix Malaysia 2025 yang memasuki edisi ke-32 menyaksikan kemunculan pemain baharu, Voge, yang bersedia untuk mencabar norma persaingan.
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg, menyambut baik kehadiran Voge berharap ia akan menginspirasi pengeluar lain untuk turut serta dalam memajukan industri dua roda negara.
“Kejuaraan selama 32 lalu telah memperlihatkan penyertaan jenama pengeluar seperti Suzuki dan Modenas.
“Musim ini arena Cub Prix akan menyambut penyertaan pemain industri baharu iaitu Voge yang akan mencabar norma dengan kelebihan tersendiri.
“Dengan usahasama ini, kami berharap dapat memberikan inspirasi kepada jentera-jentera pengeluar lain untuk mengenali nilai dan kepentingan kejuaraan ini terutamanya dalam perkembangan industri dua roda,” katanya pada Khamis.
Sebagai rekod, perasmian musim baharu perlumbaan dua roda kejuaraan 10 pusingan itu dilancarkan di Litar Karting Antarabangsa LYL, Sepang.
Pada masa sama Hogg menyifatkan kejuaraan Cub Prix bukan sekadar sukan, tetapi juga platform merangsang perkembangan lebih besar bagi komuniti, masyarakat dan negara.
“Ini adalah suatu fasa yang mengujakan, lebih-lebih lagi dengan pertambahan dari segi penyertaan. Salah satu daripadanya adalah bagi Kategori Pro-Am Cup yang akan menyaksikan penyertaan bekas-bekas pelumba Kategori Expert.
“Ini pastinya menjadi penanda aras kepada kami terutamanya dalam mempamerkan aspirasi sebenar yang tidak mengenal had umur.
“Selain itu, kejuaraan ini juga akan melihat penyertaan jentera jenama pengeluar baharu yang akan berlumba bersama jenama-jenama terkenal, Yamaha dan Honda di kategori perlumbaan CP150,” katanya.
Sementara itu, Hogg juga menekankan komitmen Cub Prix dalam membangunkan ekosistem sukan dan komuniti, termasuk aspek keselamatan jalan raya melalui program pendidikan di sekolah-sekolah dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Program yang akan berlangsung di 16 sekolah menengah sekitar Lembah Klang ini turut diperkasakan melalui kerjasama dengan Perkeso yang bertujuan memberi impak kepada masyarakat dengan menunggang selamat,” katanya.
OR