Kuala Lumpur: BHPetrol terus memperkukuh kehadirannya di Lembah Klang dengan pelancaran rasmi Stesen BHPetrol Bandar Tun Razak di sini, yang kini tampil dengan imej baharu dan lebih moden.
Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad berkata, stesen berkenaan mempunyai sejarah panjang apabila ia asalnya beroperasi di bawah jenama BP sejak tahun 1996 hingga 2005.
Katanya, stesen itu beralih kepada BHPetrol pada 14 Februari 2006 selaras dengan proses penjenamaan semula rasmi semua stesen BP di Malaysia.
“Selepas hampir dua dekad, stesen ini terus beroperasi di bawah jenama tempatan BHPetrol yang menawarkan produk bahan api berkualiti tinggi seperti BHPetrol Infiniti Petrol 95, 97, Diesel B10 dan Diesel B7.
“BHPetrol juga mengekalkan komitmen terhadap bekalan petrol yang stabil selain menyokong inisiatif subsidi kerajaan (BUDI95) bagi memastikan pengguna terus menikmati harga bahan api yang berpatutan,” katanya ketika majlis perasmian wajah baharu stesen berkenaan, kelmarin.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin.
Menurut BHPetrol, pembukaan semula stesen itu bukan sahaja menandakan peningkatan imej korporat, tetapi juga mencerminkan keazaman syarikat untuk pengalaman lebih selesa dan menyeluruh kepada pelanggan.
Ia dilengkapi dengan kemudahan seperti kedai serbaneka BHPetromart, ruangan solat, kafe Kenangan Coffee serta tandas, menjadikan stesen ini lokasi rehat yang ideal untuk semua golongan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd





