Wakaf bersifat kekal dan tidak boleh diubah pemilikannya

Wakaf bersifat kekal dan tidak boleh diubah pemilikannya



amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Konsep wakaf masih mengundang kekeliruan dalam kalangan segelintir masyarakat, terutama berkaitan statusnya sama ada kekal selamanya atau sebaliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan bahawa wakaf adalah sesuatu yang bersifat kekal dan tidak boleh diubah pemilikannya.

“Wakaf ini bersifat ‘lil abad’ atau ‘perpetual’ (berterusan), maksudnya ia kekal dan pemilikannya tidak berubah. Apabila seseorang mewakafkan harta, ia tidak lagi menjadi milik individu, sebaliknya untuk manfaat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program ‘Shopping pakaian dan keperluan raya asnaf’ anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama AEON Big Wangsa Maju, di pasar raya itu, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, masyarakat perlu memahami bahawa objektif wakaf adalah lebih luas, bukan hanya terhad kepada pembinaan masjid dan tanah perkuburan semata-mata.

“Dulu ramai yang menganggap wakaf hanya untuk kubur atau masjid. Sebenarnya, wakaf boleh dimanfaatkan untuk pendidikan, pembinaan hospital, sekolah dan pelbagai tujuan kebajikan lain,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau sudah mengarahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Wakaf Malaysia untuk memperhebatkan penerangan kepada masyarakat mengenai kepentingan wakaf.

Menurutnya, usaha ini penting bagi mengelakkan kekeliruan sebagai contoh antara wakaf dan zakat serta sebagainya sekali gus menarik lebih ramai individu untuk menyumbang melalui wakaf.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata harta yang diwakafkan tidak boleh menjadi pusaka selepas kematian pewakaf.

“Sebagai contoh, jika seseorang mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, maka selepas dia meninggal dunia, tanah itu tidak akan menjadi harta pusaka kepada waris. Ia kekal sebagai wakaf dan tidak boleh dijual beli,” katanya.

Jelasnya, wakaf berterusan memberikan manfaat kepada orang ramai dan dalam masa sama, pewakaf akan menerima pahala mengalir berpanjangan walaupun sudah meninggal dunia.

“Selagi ada orang mendapat manfaat daripada wakaf berkenaan seperti hospital atau solat di masjid yang tersebut, pahala akan terus mengalir kepada pewakaf, meskipun dia telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa wakaf bukanlah aset yang boleh diniagakan kerana ia adalah harta yang telah diserahkan untuk manfaat umum.

“Tak boleh jual, tak boleh beli. Wakaf ini kekal selamanya,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top