KUALA LUMPUR – Wakil Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan perwakilan menyempurnakan penghormatan terakir terhadap pemimpin kanan Hamas, Dr Ismail Haniyeh hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, perwakilan termasuk Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengiringi jenazah Haniyeh ke Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha pukul 1 petang waktu tempatan.
Menurutnya, majlis pengebumian berlangsung selepas selesai solat Jumaat di Masjid Imam Muhammad Ibn Abdul Al Wahhab Doha Qatar.
Solat jenazah dan majlis pengebumian dihadiri oleh ribuan jemaah daripada pelbagai negara dan rakyat tempatan.
“Upacara pengebumian syuhada, Ketua Biro Politik Hamas dilakukan dengan kehadiran orang ramai serta penyertaan pemimpin Arab dan Islam dari pelbagai negara.
“Mewakili Kerajaan Malaysia saya telah memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh.
“Dengan kehadiran ribuan orang ramai sewaktu solat jenazah dan di pengebumian almarhum jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin,” katanya melalui perkongsian di media sosial.
Beliau yakin, perjuangan Haniyeh akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis dan sebuah negara merdeka.
Sementara itu Mujahid berkata, beliau telah menyampaikan salam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin Hamas termasuk Khalid Masyaal.
“Saya menyampaikan salam takziah peribadi mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin Hamas dan menyamoaikan salam kepada ketua gerakan Islam lain yang hadir.
“Dapat bertemu dengan Khalid Masyaal dan lain-lain pimpinan. Turut hadir Pak Jusof Kala, Syiekh Ali Quradaghi, Dr Daud Oglo dan lain-lain pimpinan.
“Beribu yang menghadiri solat janazah diimamkan oleh ayahanda al-Syahid sendiri. Salam dari Doha,” kata Mujahid.
Media melaporkan kematian Haniyeh di Tehran, Iran yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan oleh Israel.
Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu serta seorang pengawal peribadinya.-MalaysiaGazette