July 23, 2024

Wakil parti, JPKKP buat laporan polis terhadap Wan Ahmad Fayhsal

Wakil parti, JPKKP buat laporan polis terhadap Wan Ahmad Fayhsal



nfazlina@nstp.com.my

Machang: Tiga parti politik dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa memfitnah berhubung isu peruntukan dilencongkan.

Empat laporan polis yang dibuat oleh wakil Umno, PKR dan Amanah serta JPKKP itu antara lain menuntut polis mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Faysal, susulan kenyataan tidak bertanggungjawab.

Naib Ketua Umno Bahagian Machang, Mohd Fakaruddin Ismail berkata, tujuan laporan dibuat bagi membersihkan imej mereka yang didakwa menjadi mangsa fitnah.

“Semalam, Ahli Parlimen Machang memaklumkan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada beliau dilencongkan kepada parti politik Kerajaan Perpaduan dan JPKKP.

“Kami sangat terkejut dengan kenyataan sedemikian dan saya mewakili 100 orang yang hadir mewakili parti dan JPKKP menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan.

“Ini satu fitnah yang berniat jahat, sedangkan kami semua tidak menerima peruntukan sebagaimana yang didakwa.

“Justeru, kita menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ahli Parlimen Machang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

Mengulas lanjut, Mohd Fakaruddin berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, Wan Ahmad Faysal tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa usul periksa.

“Adalah tidak masuk akal peruntukan Ahli Parlimen dilencongkan kepada parti-parti kerajaan dan JPKKP,” katanya.

Semalam media melaporkan, Wan Ahmad Fayshal mendakwa peruntukan yang sepatutnya mereka terima sebagai wakil rakyat sudah dilencongkan.

Katanya, peruntukan berkenaan dilencongkan dengan menyalurkannya kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top