Waktu Solat Malaysia Tampil Dengan Langganan Tanpa Iklan, Artikel Dalam Aplikasi Sempena Ramadan

Waktu Solat Malaysia Tampil Dengan Langganan Tanpa Iklan, Artikel Dalam Aplikasi Sempena Ramadan


Aplikasi gaya hidup Islam di bawah REV Media Group, Waktu Solat Malaysia, terus memperluaskan peranannya sebagai platform digital pilihan umat Islam apabila memperkenalkan langganan tanpa iklan serta ciri artikel dalam aplikasi sempena Ramadan 2026.

Pengenalan fungsi baharu itu dibuat susulan maklum balas pengguna yang mahukan pengalaman penggunaan aplikasi yang lebih lancar, selesa dan selamat, selain memberi tumpuan penuh kepada keperluan rohani tanpa gangguan iklan.

Menerusi kemas kini terbaharu yang kini tersedia di App Store dan Play Store, pengguna boleh memilih pelan langganan tanpa iklan mengikut tempoh yang diinginkan. Antara pilihan ditawarkan ialah pelan bulanan pada harga RM9.90, pelan suku tahunan selama tiga bulan pada kadar RM28, bersamaan RM9.33 sebulan berbanding harga asal RM45, serta pelan tahunan bernilai RM108, iaitu RM9 sebulan berbanding nilai asal RM180.

Langganan tersebut boleh dibuat melalui pelbagai kaedah pembayaran termasuk pelan rangkaian telefon bimbit, FPX, e-dompet, kad kredit atau debit serta perbankan DuitNow.

Dengan langganan itu, pengguna dapat menikmati akses tanpa gangguan kepada pelbagai ciri utama dalam aplikasi seperti waktu solat, al-Quran, arah kiblat, tasbih harian, doa harian, panduan solat dan zikir.

Lebih menarik, pelanggan turut diberikan akses percuma ke platform penstriman Tonton tanpa iklan yang menawarkan pelbagai kandungan seperti drama eksklusif, filem, program televisyen terbitan Media Prima menerusi TV3, TV9 dan 8TV, selain saluran premium seperti TVN, Animax, GEM serta kandungan Korea.

Pengurus Program OTT REV, Safwan Rahim berkata, pihaknya mengambil serius maklum balas pengguna, khususnya berkaitan iklan yang dianggap mengganggu dan kadangkala menimbulkan rasa kurang selesa terhadap kandungan yang dipaparkan.

“Kami sentiasa meneliti pandangan pengguna, terutama berhubung iklan yang boleh mengganggu pengalaman mereka ketika menggunakan aplikasi. Dalam sesetengah keadaan, ia juga boleh menimbulkan kekeliruan atau rasa sangsi terhadap kandungan yang muncul.

“Menerusi pilihan tanpa iklan ini, kami mahu menyediakan pengalaman yang lebih tersusun, selesa dan membolehkan pengguna memberi fokus sepenuhnya ketika menggunakan aplikasi,” katanya.

Menurut Safwan, pelancaran fungsi tersebut diharap dapat mempertingkat pengalaman pengguna secara menyeluruh, selain memenuhi keperluan rohani, pendidikan dan hiburan dalam persekitaran digital yang lebih selamat.

Dalam masa sama, Waktu Solat Malaysia turut memperkenalkan ciri artikel dalam aplikasi atau In-App Article yang membolehkan pengguna membaca sebahagian kandungan artikel secara terus tanpa perlu keluar dari aplikasi.

Bagi pengguna yang mahu meneruskan bacaan penuh, mereka akan dibawa terus ke portal rasmi Waktu Solat Malaysia di www.waktusolat.digital

Safwan berkata, ciri tersebut diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai bahan bacaan Islamik di satu platform yang sama.

“Melalui fungsi ini, pengguna lebih mudah mengakses pelbagai artikel yang merangkumi panduan ibadah, berita Islam, isu hukum, inspirasi dan gaya hidup Islam.

“Semuanya disediakan dengan lebih mudah dan pantas, hanya di hujung jari tanpa perlu mencari di platform lain,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top