Walaupun sibuk menjalani penggambaran filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali terbitan Key Billions Sdn Bhd di Korea Selatan, pelakon Jaa Suzuran tetap memberi tumpuan terhadap penganjuran acara sukan pertarungan, Fury Redemption.
Pelakon yang dinobatkan Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia 32 itu berkata, sepanjang berada di set penggambaran, minda dan fizikalnya sentiasa bekerja keras membahagikan fokus antara dunia lakonan dan komitmen terhadap sukan tempur yang turut menjadi minatnya.
“Saya sangat suka watak Taqy dalam Tiket Sehala kerana ia berat dan menuntut banyak lapisan emosi. Pada masa sama, saya juga perlu beri perhatian kepada Fury.
“Setiap kali pengarah umumkan ‘cut’ dan berpuas hati dengan lakonan, saya terus keluar set, capai telefon dan berlari ke khemah pelakon untuk uruskan hal lain pula,” katanya.

Tambahnya, komitmen itu bertambah besar kerana dia turut memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Pemasaran selain terlibat dalam proses mendapatkan atlet bertarung untuk Fury Redemption.
Jaa berkata selepas kejayaan penganjuran Fury pada Mei lalu, peminat sukan pertarungan mahukan aksi yang lebih intens dan berkualiti tinggi.
“Kami berjaya himpunkan beberapa nama besar sukan pertarungan dari dalam dan luar negara antaranya Elias ‘EZ’ Ghazali, yang juga abang kepada bintang muda Johan Ghazali; Riedzwan Norsyahmie (Malaysia); Fahri Alamsyah (Indonesia) dan Alan Nasser dari Iran.
“Fury Redemption juga akan menyaksikan pertembungan menarik antara atlet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menentang atlet Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU),” katanya.
Selain barisan jaguh tempur, Fury Redemption turut menampilkan kehadiran pelakon Alif Muhaimin dan Adam Lee.
Fury Redemption dijadualkan berlangsung pada 28 Disember 2025 di Arena Sukan, Setapak, Kuala Lumpur.
Kredit foto: Zain Mavee






