DEK kerana sibuk mengurus rutin harian yang padat dengan urusan pekerjaan dan rumah tangga, tanpa disedari ada ibu bapa yang mengabaikan saat-saat berharga bersama anak-anak.
Sebagai contoh, waktu makan bersama di meja, perjalanan ke sekolah atau sekadar bermain di taman yang dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Kadangkala walaupun jasad di situ, tetapi tidak pada fikiran kita. Dalam kepala, berselirat dengan perihal kerja, gajet dan lain-lain.
Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, meskipun Rasulullah SAW memikul amanah besar sebagai utusan ALLAH, Baginda tetap menyempatkan diri untuk mencium dan memeluk anak serta cucu-cucunya.
USTAZAH ASMA’
“Ia menunjukkan bahawa kasih sayang itu harus diserlahkan dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata.
“(Begitulah yang diperlukan anak-anak). Mereka mahu sedikit perhatian, senyuman mesra, ciuman atau pelukan hangat daripada kita,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Jelas penceramah terkemuka itu, terdapat banyak hadis sahih yang menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW menzahirkan kasih sayang kepada keluarga Baginda.
Berikut perinciannya:
1. Nabi Muhammad SAW mencium cucunya, Al-Hasan bin Ali
Antara kisah yang diriwayatkan, Nabi Muhammad SAW pernah mencium cucunya, Al-Hasan bin Ali, lantas seorang sahabat bernama Al-Aqra’ bin Habis berkata: “Saya mempunyai sepuluh orang anak, tetapi saya belum pernah mencium seorang pun dari mereka.”

MANFAATKAN waktu makan bersama keluarga dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Nabi Muhammad SAW memandangnya lalu bersabda: “Barang siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis itu menjadi peringatan bahawa kasih sayang terhadap anak-anak harus ditunjukkan melalui tindakan nyata, bukan hanya sekadar ucapan.
2. Baginda SAW ajar kita cium anak-anak
Selain itu, dalam satu riwayat daripada Aisyah RA bahawa beberapa orang Arab Badwi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan mencium anak-anak.
Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” Mereka pula berkata: “Tetapi kami, demi ALLAH, tidak mencium anak-anak kami.” Maka Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku tidak mampu berbuat apa-apa jika ALLAH telah mencabut rasa belas kasihan daripada hati-hati kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jelas Ustazah Asma’, hadis tersebut menunjukkan bahawa rasa kasih sayang adalah fitrah yang mesti dijaga.

CONTOHI Rasulullah SAW yang menunjukkan kasih sayang terhadap anak dan cucu-cucu Baginda. Tidak hanya dengan kata-kata, tetapi melalui pelukan, ciuman, sambutan mesra dan perhatian sepenuh hati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
3. Mencium tangan Saidina Fatimah RA
Dalam riwayat lain, Aisyah RA menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW menyambut kedatangan puterinya, Fatimah RA dengan penuh mesra.
Kata Aisyah RA: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih menyerupai Nabi Muhammad SAW dalam cara berjalan, duduk, berdiri dan tindakannya daripada Fatimah. Apabila dia masuk menemui Nabi Muhammad SAW, Baginda bangun menyambut, mengambil tangan Fatimah, menciumnya, lalu mendudukkannya di tempat Baginda. Begitu juga apabila Nabi Muhammad SAW masuk menemuinya, Fatimah bangun menyambut, mengambil tangan Baginda, menciumnya, lalu mendudukannya di tempatnya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)
4. Nabi Muhammad SAw mencium cucunya, Husain bin Ali RA
Kisah lain pula menceritakan Rasulullah SAW menyambut cucunya, Husain RA dengan penuh gurauan manja. Baginda berlari mengejarnya, membuka tangan seolah-olah mahu menangkap cucunya itu.

DARI hati yang penuh kasih sayang, lahir keluarga yang bahagia dunia dan akhirat. -Foto: CANVA
Setelah berjaya, Nabi Muhammad SAW meletakkan satu tangan di bawah dagunya dan satu tangan di atas kepalanya, menciumnya dan bersabda: “Husain daripada diriku dan aku daripada Husain. ALLAH mencintai orang yang mencintai Husain. Husain ialah salah seorang cucu yang mulia.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
5. Nabi Muhammad SAW mencium puteranya, Ibrahim RA
Daripada Anas bin Malik RA: “Kami masuk bersama Nabi Muhammad SAW menemui Abu Saif Al-Qayn, suami ibu susuan Ibrahim. Baginda mengambil Ibrahim, lalu menciumnya dan menghidu baunya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Melihat kepada semua dalil dan perbuatan Rasulullah SAW itu, ujar Ustazah Asma’, ia jelas membuktikan bahawa Baginda menunjukkan kasih sayang terhadap anak dan cucu-cucu Baginda bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui pelukan, ciuman, sambutan mesra dan perhatian sepenuh hati.
“Sebagai ibu ayah atau penjaga, kita diajar untuk mencontohi Baginda. Jangan sampai kesibukan dunia membuatkan kita lupa menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak kita.

KASIH sayang terhadap anak-anak harus ditunjukkan melalui tindakan nyata, bukan hanya sekadar ucapan. -Foto: CANVA
“Ini kerana dari hati yang penuh kasih sayang, lahir keluarga yang bahagia dunia dan akhirat,” jelasnya.