Kesebelasan utama yang kemungkinan bakal diturunkan Wan Mustaffa ketika KL Rovers bertemu JDT Sabtu ini – Foto: FB Johor Southern Tigers
PENGENDALI KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail tetap mahu kesebelasan pemainnya memberikan aksi terbaik pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Menurutnya, biarpun bakal mengharungi satu perlawanan yang sukar selain ketinggalan 0-3 dari segi agregat, namun dia tetap percaya kesebelasan pemain mampu mengulangi aksi terbaik sebagaimana aksi pertama pusingan 16, 20 November lalu.
“Pemain telah buktikan mereka mampu bersaing seperti yang dipamerkan pada aksi pertama sebelum ini.
“Jika kita fokus, kita akan lebih kuat dan kita dapat lihat pemain-pemain kita tidak gentar dengan lawan (JDT) yang dihadapi.
“Mereka juga tunjukkan mereka tidak terlampau menghormati lawan apabila dengan selamba boleh menang satu lawan satu, pertahanan kita pun boleh atasi penyerang lawan..tak takut langsung,” katanya.
Untuk rekod, pada aksi pertama pusingan 16, 20 November lalu, Kelab A1-Semi Pro itu tumpas 0-3 kepada JDT hasil jaringan hatrik pemain import JDT, Heberty Fernandes.
Sementara itu, Wan Mustaffa mengakui berbangga apabila ada pemain-pemain KL Rovers yang mendapat tawaran daripada pasukan-pasukan lain.
Katanya, dia juga berasa teruja apabila berjaya melatih pemain-pemain berkenaan yang pada asalnya digugurkan atau tidak mendapat tempat dalam pasukan masing-masing.
“Saya begitu teruja dapat bantu mereka, seolah-olah saya ‘brainwash’ (motivasi) mereka sebab saya pernah latih pasukan tertinggi.
“Jadi, bagi setiap pemain nak main kena ikut arahan, ikut cara saya dan saya rasa bangga jika mereka ditawarkan oleh pasukan-pasukan lain,” ujarnya.