KUALITI pemain tempatan mampu setanding dengan pemain import sekiranya mengubah mentaliti kepada yang lebih terbuka.
Itu tegas pemain sayap baharu Penang FC, Wan Zack Haikal Wan Noor yang tidak pernah menganggap kehadiran ramai pemain import akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk menyerlah.
Wan Zack, yang pernah berkelana ke kelab divisyen tiga Jepun, Ryukyu FC pada 2013 juga menyifatkan pengalaman di negara matahari terbit itu mengajarnya untuk tidak berasa rendah diri.
Sebaliknya jelasnya, pengalaman itu mendorongnya bekerja lebih keras demi mencapai taraf kualiti yang sama dengan pemain asing.
Tambahnya, setiap pemain perlu menerima perubahan seiring dengan era pemodenan bola sepak masa kini apabila peraturan baharu Liga Malaysia (Liga-M) membenarkan pendaftaran sehingga 15 pemain import bermula musim 2025/26.
“Pendapat saya, sebenarnya situasi ini (15 pemain import) tidak akan menjadi masalah.
“Ini kerana setiap pemain perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat, terutamanya pemain tempatan yang akan berdepan persaingan sihat dalam pasukan,” katanya.
Jelasnya, jika diperhatikan, kualiti pemain tempatan di Malaysia sebenarnya tiada beza jauh pun dengan pemain-pemain asing.
“Namun, kita selalu merasakan kita tidak setaraf dengan mereka disebabkan mentaliti diri sendiri.
“Bagi saya, kita kena ubah mentaliti ini, ubah cara hidup kita,” katanya.
Beliau menegaskan, hanya dengan kerja keras dapat memberikan hasil terbaik, termasuklah untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan.
“Masa saya mula-mula ke Jepun dahulu, tidak dinafikan memang agak mencabar pada dua minggu pertama.
“Tetapi, apabila sudah dapat rentak, saya lihat sendiri kita sebenarnya boleh untuk berada di tahap yang sama dengan pemain asing lain,” kata bekas pemain Harimau Malaya berkenaan.
Bekas pemain Perak FC musim lalu itu, juga menyatakan kesediaan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Kumbang.
“Saya bersyukur apabila kudrat masih ditagih meskipun pada usia 34 tahun ini.
“Cabaran bersaing dengan pemain-pemain lain, peluang untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri, demi membantu Penang berada di kedudukan lebih selesa pada musim depan.
“Alhamdulillah, pada usia saya ketika ini masih ada kelab yang inginkan khidmat saya.
“Terima kasih kepada semua, termasuk coach Wan Rohaimi Wan Ismail, yang percayakan saya.
“Meskipun sedar saingan sengit di Penang FC, saya tetap bersedia untuk membuktikan sesuatu demi merebut tempat,” katanya.