SEOUL: Polis Korea Selatan akan memohon waran tangkap terhadap seorang wanita yang menyebabkan kebakaran di pangsapuri miliknya ketika cuba membunuh seekor lipas menggunakan alat pembakar api buatan sendiri, lapor media tempatan.
Kebakaran itu mengakibatkan seorang jirannya maut selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri melalui tingkap.
Wanita berusia 20-an itu memberitahu polis, dia cuba membakar lipas menggunakan pemetik api dan semburan mudah terbakar, dan mendakwa pernah menggunakan kaedah itu sebelum ini.
Namun, kejadian pada Isnin menyebabkan beberapa barangan di rumahnya terbakar dan api merebak dengan pantas.
Polis bandar Osan, di utara Korea Selatan, berkata wanita itu berdepan tuduhan menyebabkan kebakaran secara tidak sengaja dan kematian akibat kecuaian.
Dalam kejadian itu, mangsa maut merupakan wanita warga China berusia 30-an yang tinggal di tingkat lima bersama suami dan bayi mereka berusia dua bulan.
Apabila menyedari kebakaran tercetus, pasangan itu membuka tingkap rumah dan menjerit meminta pertolongan.
Mereka sempat menyerahkan bayi mereka kepada jiran di bangunan bersebelahan melalui tingkap sebelum cuba menyelamatkan diri.
Suami mangsa dilaporkan berjaya memanjat ke bangunan bersebelahan, namun wanita itu terjatuh dari tingkap ketika cuba melakukan perkara sama.
Dia dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Menurut polis, pasangan berkenaan dipercayai cuba melarikan diri melalui tingkap kerana laluan tangga telah dipenuhi asap tebal akibat kebakaran.
Bangunan lima tingkat itu menempatkan kedai-kedai komersial di tingkat bawah, manakala 32 unit kediaman lain berada dari tingkat dua hingga lima.
Lapan penghuni lain dilaporkan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap kebakaran.
Tindakan membakar lipas menggunakan obor api atau alat pembakar buatan sendiri kini menjadi trend baharu untuk menghapuskan serangga perosak di rumah, susulan tularnya pelbagai video di media sosial.
Pada 2018, seorang lelaki di Australia menyebabkan dapurnya terbakar ketika cuba membunuh lipas menggunakan alat pembakar api buatan sendiri yang diperbuat daripada semburan racun serangga.- BBC