Wanita boleh bina badan selagi berada dalam batas agama dan budaya

Wanita boleh bina badan selagi berada dalam batas agama dan budaya



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak menjadi kesalahan bagi wanita bersenam atau membina badan selagi tujuan utama adalah menjaga kesihatan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, senaman dan kecergasan adalah sebahagian daripada tuntutan agama dalam menjaga kesihatan.

“Pencegahan lebih baik daripada rawatan maka, wanita perlu mengambil langkah menjaga kesihatan diri. Ini termasuk senaman membina badan.

“Tetapi, aspek penampilan fizikal perlu diberi perhatian. Dalam Islam, wanita diwajibkan menutup aurat dan tidak mendedahkan tubuh badan mereka kepada khalayak.

“Jika seorang wanita berbadan sasa tetapi tidak menzahirkan bentuk tubuhnya kepada khalayak umum, maka ianya tidak menjadi isu tapi jika sampai ke tahap menyerupai lelaki, di situlah perlunya perbincangan lebih lanjut mengenai kesesuaian perkara terbabit dalam konteks agama,” katanya.

Mohammad Nidzam berkata, penyertaan wanita dalam pertandingan bina badan boleh menimbulkan kekeliruan terhadap konsep kewanitaan.

“Jika ianya membabitkan pertandingan terbuka, sudah tentu bertentangan dengan batas agama kerana wanita akan memperlihatkan tubuh badan secara terangan.

“Perkara berkenaan boleh mengundang pelbagai persepsi yang kurang baik daripada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, wanita yang ingin menyeimbangkan kesihatan fizikal dengan nilai keagamaan dinasihati agar mengamalkan konsep kesederhanaan.

“Tidak perlu keterlaluan dari segi masa mahupun diet. Cukup dengan senaman yang sederhana untuk menguatkan otot dan menjaga kesihatan.

“Wanita masih boleh kekal aktif dalam dunia kecergasan dengan memilih aktiviti bersesuaian.

“Aktiviti seperti berjoging, bersenam menggunakan peralatan ringan di rumah atau tempat awam juga boleh dimanfaatkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara utama adalah niat untuk kesihatan dan bukan menonjolkan diri atau menyerupai lelaki.

“Selagi ianya dilakukan dalam batas yang sesuai dengan agama dan budaya, sudah pasti tidak menjadi masalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top