Paris: Seorang wanita warga China ditahan dan didakwa berhubung kes kecurian emas bernilai lebih AS$1 juta (kira-kira RM4.7 juta) dari Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Kebangsaan di Paris, bulan lalu.
Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditangkap di Barcelona pada 30 September lalu, selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk muzium berkenaan pada 16 September.
Suspek diserahkan kepada pihak berkuasa Perancis pada 13 Oktober lalu sebelum didakwa atas kesalahan mencuri dan berkomplot jenayah.
Siasatan mendapati wanita itu meninggalkan Perancis pada hari kejadian, dan bersiap untuk pulang ke China ketika ditahan.
Beccuau berkata, ketika penahanan, suspek dikesan cuba melupuskan hampir satu kilogram (kg) kepingan emas yang sudah dicairkan.
Kecurian itu disedari selepas seorang pekerja pembersihan menemukan serpihan di kawasan pameran sebelum kurator muzium mengesahkan kehilangan beberapa ketulan emas bersejarah.
Antara yang dicuri termasuk ketulan emas dari Bolivia yang disumbangkan pada abad ke-18, hadiah daripada Tsar Nicholas I Rusia pada 1833, dan emas dari era ‘gold rush’ California.
Turut dilarikan, ketulan emas seberat lima kg dari Australia yang ditemukan pada 1990.
Secara keseluruhan, hampir enam kg emas asli dicuri dengan kerugian dianggarkan bernilai 1.5 juta euro (kira-kira RM7.9 juta).
Sementara itu, rakaman kamera keselamatan turut menunjukkan seorang penceroboh tunggal memasuki muzium kira-kira 1 pagi dan keluar tiga jam kemudian.
Beccuau menyifatkan kejadian itu dilakukan secara profesional dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rakan subahat lain.
Kes berkenaan berlaku hanya beberapa minggu sebelum rompakan barang kemas bernilai AS$102 juta (kira-kira RM483 juta) di Muzium Louvre, sekali gus mencetuskan semula perdebatan mengenai tahap keselamatan muzium di Perancis.
© New Straits Times Press (M) Bhd






