Wanita dikerat: Polis masih kesan dua lagi anggota tubuh mangsa

Wanita dikerat: Polis masih kesan dua lagi anggota tubuh mangsa

Wanita dikerat: Polis masih kesan dua lagi anggota tubuh mangsa


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Selepas penemuan beberapa bahagian anggota tubuh wanita yang dibunuh kejam di sekitar Indah Permai, di sini, Khamis lalu, polis kini masih giat mengesan dua lagi anggota tubuh mangsa yang belum ditemui.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan parang di sebuah rumah di Manggatal sebelum mayatnya dipotong dan dibuang di beberapa lokasi berasingan.

Bagaimanapun, katanya, lokasi pembuangan anggota tubuh itu masih belum dapat dinyatakan secara spesifik memandangkan suspek ketika ini berada di hospital untuk menerima rawatan dan proses soal siasat lanjut belum dapat dijalankan sepenuhnya.

“Polis masih meneruskan pencarian dua lagi anggota tubuh mangsa termasuk mengesan parang dipercayai digunakan suspek.

“Operasi pencarian dijalankan sepasukan polis termasuk Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, anak mangsa menerusi siaran langsung di TikTok mendakwa walaupun jenazah ibunya sudah dikebumikan, anggota tubuh mangsa masih tidak lengkap.

“Yang belum ditemui ialah kaki kiri dan tangan kanan,” katanya.

Jauteh berkata, pihak keluarga mangsa juga boleh berhubung atau berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan kes.

Katanya, siasatan masih diteruskan termasuk menyoal siasat suspek secara lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Proses soal siasat lanjut akan dijalankan selepas keadaan suspek mengizinkan dan mendapat kebenaran doktor,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau talian Hotline 019-2182728.

Kelmarin, polis menahan lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai.

Suspek diberkas di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) pada jam 8.10 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top