Wanita ditahan kerana kes kek arsenik

Wanita ditahan kerana kes kek arsenik


Rio de Janeiro: Polis Brazil menahan seorang wanita yang dipercayai melakukan tiga pembunuhan selepas beberapa ahli keluarganya diracuni kek Krismas yang bercampur dengan arsenik.

Insiden itu menyebabkan tiga wanita maut dan tiga lagi saudaranya jatuh sakit selepas makan kek itu semasa majlis perjumpaan keluarga di Torres, sebuah bandar kecil tepi pantai, selatan Brazil, pada 23 Disember lalu.

Pegawai polis, Marcos Veloso berkata, terdapat bukti kukuh berhubung suspek,

“Ahli keluarga merasa pedas dan tidak menyenangkan pada kek itu.

“Wanita yang membakar kek itu meminta mereka berhenti memakannya, tetapi sudah terlambat,” katanya dalam sidang media, semalam.

Mengenai motif di sebalik ‘kek maut’ itu, Veloso berkata, keluarga itu mempunyai hubungan sangat harmoni tetapi dengan perbezaan sudah lama wujud yang boleh dikaitkan dengan punca jenayah itu.

Identiti suspek tidak didedahkan polis, namun media Brazil melaporkan dia adalah menantu wanita yang menyediakan kek itu.

Analisis pakar mendapati paras arsenik yang tinggi iaitu unsur semula jadi dan sangat toksik dalam darah mangsa serta pada baki kepingan kek dan tepung yang digunakan untuk membakarnya.

Dilaporkan, enam bersaudara itu dimasukkan ke hospital.

Dua beradik perempuan masing-masing berusia 58 dan 65 tahun, serta anak perempuan kepada kakak sulung berusia 43 tahun, meninggal dunia dalam beberapa jam selepas kejadian.

Kakak ketiga berusia 61 tahun, yang menyediakan kek itu, masih berada di hospital dalam keadaan stabil, menurut kemas kini terkini.

Suami kepada salah seorang adik perempuan yang meninggal dunia dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, yang ibu dan neneknya adalah antara mangsa maut, sudah dibenarkan pulang.

Pengarah polis forensik negeri selatan Rio Grande do Sul, Marguet Mittman berkata, kepekatan arsenik yang sangat tinggi ditemukan dalam tiga mangsa.

“Untuk memberi gambaran, 35 mikrogram sudah cukup untuk menyebabkan kematian seseorang.

“Dalam salah seorang mangsa terdapat kepekatan 350 kali lebih tinggi,” katanya.

Polis juga memohon penggalian semula mayat mendiang suami wanita yang menyediakan kek itu.

Kematiannya pada September lalu dikaitkan dengan keracunan makanan dan tidak disiasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top