July 19, 2024

Wanita jatuh gaung ketika turun puncak Gunung Korbu

Wanita jatuh gaung ketika turun puncak Gunung Korbu


IPOH – Seorang wanita cedera selepas tergelincir lalu terjatuh gaung sedalam 10 meter (m) sewaktu menuruni puncak Gunung Korbu di jalur pendakian melalui Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa antara 35 peserta yang mengikuti trip pendakian yang diiringi lima orang malim gunung Perhutanan Negeri Perak.

Mangsa dipercayai terjatuh sewaktu melintas dengan memeluk balak yang tumbang ditebing sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 3.29 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bergerak ke lokasi dan tiba di ‘base’ kira-kira 10 minit kemudian.

Mangsa dikatakan terjatuh sewaktu hendak melintas dengan memeluk kayu balak yang tumbang di tebing sungai.

“Kita dimaklumkan kemalangan itu melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun seberat 90 kilogram yang menyertai aktiiviti mendaki telah tergelincir dan jatuh ke dalam gaung dengan anggaran kedalaman 10 m ketika mangsa menuruni puncak Gunung Korbu.

“Maklumat awal turut mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk dan jarak dari ‘base’ ke tempat kejadian dianggarkan sejauh tiga kilometer dengan laluan trek mendaki serta curam.

“Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan diketuai oleh Ketua BBP Tambun, Mohd Jamalludin Mat Yusop bersama 12 orang anggota dan dibantu oleh malim gunung Perhutanan Negeri Perak.

“Jarak masa pendakian ke lokasi mangsa dipercayai jatuh dianggarkan kira-kira enam jam dan tempoh masa yang lebih lama diperlukan bagi membawa turun mangsa menggunakan teknik usungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat untuk membawa keluar mangsa dari kawasan tersebut.

“Anggota penyelamat yang membawa peralatan menyelamat termasuk pengusung perlu mendaki melalui lereng bukit dalam cuaca gelap serta jalan licin akibat hujan, selain menempuh anak sungai sebelum tiba di lokasi mangsa jatuh,” jelasnya.

Sabarodzi berkata, sehingga jam 8 malam operasi SAR masih diteruskan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top