am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang lelaki dipercayai mengamuk sebelum membunuh ibunya yang ditemukan dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu, jam 7.48 pagi.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian membuat tangkapan terhadap suspek yang dikatakan mengamuk sebagaimana dilaporkan.
“Pemeriksaan lanjut polis sejurus itu pula menemukan mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dipercayai dibunuh,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, siasatan awal berdasarkan temu bual dengan anak suspek yang berusia 14 tahun mendapati remaja itu terdengar pertengkaran antara bapanya (suspek) dengan neneknya (si mati) sekitar 7 hingga 7.30 pagi.
Menurutnya, sebaik sahaja mendengar jeritan neneknya meminta tolong, remaja itu segera keluar dari bilik dan melarikan diri ke luar rumah untuk mendapatkan bantuan jiran.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku namun diancam oleh suspek, menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sebaik polis tiba, lelaki itu berjaya ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut menemui ibu suspek, yang berusia 68 tahun, dalam keadaan terbakar,” katanya.
Siti Nor Salawati berkata, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 43 tahun adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.
Beliau berkata, mayat wanita warga emas itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd