Wanita putih mata, duit RM90,000 hasil gadai barang kemas dilesapkan sindiket penipuan

Wanita putih mata, duit RM90,000 hasil gadai barang kemas dilesapkan sindiket penipuan


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang pembantu kedai berputih mata apabila wang hasil gadaian barang kemas bernilai lebih RM90,000 lesap selepas digertak sindiket penipuan mendakwa dia dikehendaki pihak berkuasa kerana terbabit kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 21 tahun itu membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 8.52 malam semalam.

Menurutnya, pada 10 April lalu kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berada di kediamannya di daerah ini menerima panggilan daripada pihak yang menyamar sebagai penghantaran barangan mendakwa kononnya mangsa membuat penghantaran barang yang membabitkan kad pengenalan dan kad bank.

Katanya, panggilan kepada mangsa itu kononnya disambungkan kepada Polis Kontinjen Sarawak dan pihak berkenaan mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian dikehendaki mempamerkan aset yang terdiri daripada beberapa barang kemas dan dikehendaki membuat gadaian ke atas barang kemas itu.

“Mangsa yang terpedaya kemudian membuat gadaian ke atas barang kemas miliknya dan ibunya di tiga kedai pajak gadai di daerah ini termasuk membuat gadaian ke atas surat gadai bagi memperoleh wang berjumlah RM90,240,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pemindahan wang ke tiga akaun yang berbeza berjumlah RM7,500 dengan dua kali transaksi pada 11 April lalu.

Katanya, mangsa juga membuat pindahan berjumlah RM73,400 dengan 17 kali transaksi pada 11 dan 12 April lalu dan seterusnya ke dalam satu akaun lagi berjumlah RM9,340 pada 12 April lalu.

Tambahnya, semua pindahan wang itu dilakukan bermula pada 11 hingga 12 April lalu, selepas pindahan wang dilakukan, mangsa tidak lagi menerima mesej di aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon daripada pihak sindiket.

“Mangsa cuba menghubungi nombor berkenaan namun tiada jawapan dan mangsa mulai mencurigai sebelum mengesyaki ia adalah satu penipuan.

“Mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM90,240 kemudian membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top